X

Kindly register in order to view this article
!

Zahid sedia bayar tunggakan AS$2.058 juta untuk anak ambil alih saham

Ahmad Zahid Hamidi (tengah) hadir di Mahkamah Tinggi hari ini bagi prosiding perbicaraan. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Eksport Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedia membayar tunggakan pinjaman syarikat Ri-Yaz Asset Sdn Bhd berjumlah AS$2.058 juta, bagi membolehkan anaknya Nurulhidayah mengambil alih saham syarikat berkenaan.

Datuk Mat Noor Nawi, 65, ketika membaca penyataan saksinya berkata, tunggakan pinjaman yang dibayar kepada EXIM Bank itu bagi pembelian sebuah hotel di Bali,Indonesia menggunakan wang Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid.

Beliau berkata, wang tunggakan itu perlu dijelaskan sebelum sebarang pertukaran pindah milik saham 60 peratus di dalam Ri-Yaz Asset dilakukan antara Nurulhidayah dengan pemegang saham syarikat itu, Tan Sri Rashid Manaf.

"Datuk Seri Ahmad Zahid ada memberitahu sekiranya beliau mendahulukan wang yayasan, Datuk Nurulhidayah dan Datuk Shaheen (pemegang saham Ri-Yaz Asset) perlu membayar kembali wang yayasan tersebut," katanya pada hari ke-25 perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit membabitkan Yayasan Akalbudi yang dihadapi bekas timbalan perdana menteri (TPM) itu.

Saksi ke-76 pihak pendakwaan itu berkata, beliau dan Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank Norzilah Mohammed telah mengadakan perjumpaan dengan Ahmad Zahid, Nurulhidayah dan Shaheen di pejabat TPM di Putrajaya pada 23 Jun 2016, bagi mendapatkan kelulusan daripada bank tersebut untuk membenarkan Nurulhidayah mengambil alih saham berkenaan.

Katanya, pada 24 Jun 2016, pihak EXIM Bank telah menghantar surat kepada Ri-Yaz Asset meminta bayaran tunggakan AS$2.058 juta itu dan Ri-Yaz Asset telah membuat bayaran itu kepada bank berkenaan pada 5 Julai 2016.

Mat Noor berkata, mesyuarat Jawatankuasa Kredit (BCC) EXIM Bank pada 14 Dis 2016 telah bersetuju dengan pindah milik saham antara Rashid kepada Nurulhidayah dengan menetapkan syarat bahawa Rashid perlu kekal menjadi penjamin bagi hutang Ri-Yaz Asset dengan bank tersebut dan perlu memegang sekurang-kurangnya 10 peratus saham dalam syarikat tersebut.

Beliau berkata, Rashid perlu kekal menjadi penjamin pinjaman Ri-Yaz Asset kerana pinjaman EXIM Bank kepada syarikat itu sebelum ini diluluskan atas dasar kekuatan komersial Rashid.

"Bagaimanapun, setahu saya Nurulhidayah tidak meneruskan niat untuk membeli 60 peratus saham Rashid dalam Ri-Yaz Asset. Saham Rashid itu kemudiannya telah dibeli oleh syarikat dari Indonesia, namun saya tidak tahu siapa pembeli tersebut," katanya.

Sementara itu, Mat Noor bersetuju dengan cadangan peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid bahawa tidak menjadi masalah bagi pihaknya untuk sesiapa sahaja yang menjelaskan wang pinjaman diberikan bank berkenaan.

Ditanya Ahmad Zaidi, adakah saksi tahu segala jumlah bayaran (tunggakan) telah dikembalikan berikutan Nurulhidayah tidak meneruskan niat untuk membeli saham itu, saksi menjawab “ya tahu”.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi semasa pemeriksaan balas, bayaran tunggakan pinjaman itu untuk apa, saksi itu berkata ia adalah prasyarat kepada cadangan untuk Nurulhidayah mengambil alih saham Ri-Yaz Asset sebelum perkara itu dipertimbangkan.

Mat Noor juga berkata bayaran tunggakan pinjaman itu dibuat oleh Ri-Yaz Asset, namun tidak tahu daripada mana sumber yang diperoleh oleh syarikat tersebut untuk membayar tunggakan tersebut.

Saksi ke-78 pihak pendakwaan, Datuk Mohd Jimmy Wong Abdullah, 68, pula memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah menyampaikan sumbangan berbentuk 14 draf permintaan dan satu cek yang keseluruhannya berjumlah RM9 juta secara berperingkat kepada Ahmad Zahid bagi pembinaan masjid di Melaka dan Country Heights, Kajang.

Mohd Jimmy Wong, Pengarah Bukan Eksekutif syarikat MYEG turut mengesahkan 14 draf permintaan dan satu cek bertarikh antara 13 Mei 2016 dan 26 Mac 2018 masing-masing bernilai RM600,000 itu diserahkannya sendiri kepada Ahmad Zahid di kediaman bekas TPM itu.

“Semasa serahan dibuat, Datuk Ahmad Zahid akan membuat akad sebagai tanda menerima sumbangan dari saya atas tujuan untuk membina masjid,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya.

Beliau berkata Ahmad Zahid juga meminta dirinya untuk tidak memberikan sumbangan secara tunai dan duit tersebut perlu dimasukkan ke dalam akaun Lewis & Co yang merupakan pemegang amanah Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Collin Lawrence Sequerah bersambung 27 Julai ini. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!