Tak sangka anak 'pergi' menyusul cucu

Mohd Noor (kiri) dan Muhammad Hafizi menunjukkan gambar kenangan Allahyarham anaknya yang melangsungkan perkahwinan pada Disember tahun lalu.
Mohd Noor (kiri) dan Muhammad Hafizi menunjukkan gambar kenangan Allahyarham anaknya yang melangsungkan perkahwinan pada Disember tahun lalu.
A
A
A

TANJONG KARANG - "Arwah sebelum ini ada meluahkan terlalu rindu anak dalam kandungan isterinya yang keguguran bulan lalu," kata bapa kepada mangsa maut akibat digilis treler dalam kejadian di Jalan Kuala Selangor - Teluk Intan semalam.

Mohd Noor Ibrahim, 56, berkata, dia tidak menyangka anaknya, Muhamad Hafizan Mohd Noor, 26, menyusul pemergian cucunya selepas terlibat kemalangan semalam.

Malah katanya, anaknya lebih banyak mendiamkan diri selepas isterinya keguguran anak sulung mereka, bulan lalu.

Menurutnya, perubahan itu dapat dilihat ketika dia menziarahi Muhamad Hafizan dan menantunya, Khairunisa Sharif, 28, kira-kira tiga minggu lalu.

Menurutnya, mereka sekeluarga ke rumah didiami Muhamad Hafizan di Kuala Selangor untuk menenangkannya selepas isteri Allahyarham, Khairunisa Sharif, 28, mengalami keguguran.

"Dia memang seorang yang tak banyak bercakap, tapi selepas isteri keguguran dia lebih banyak berdiam.

"Isterinya (Khairunisa) menyatakan sebelum Muhamad Hafizan kemalangan arwah terlalu rindu dengan anak dalam kandungan berusia dua bulan hingga tak menyangka arwah pergi menemui Ilahi semalam," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, Allahyarham Muhamad Hafizan yang bekerja di sebuah kedai peruncit perkakas rumah sebelum ini berulang-alik dari rumah mereka di Taman Seri Manik, Tanjong Karang.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, anak ketiga daripada empat beradik itu mula menetap di Kuala Selangor selepas melangsungkan perkahwinannya Disember tahun lalu.

"Arwah seorang anak yang baik, pendiam, suka senyum, rajin bekerja dan tidak mudah marah serta rapat dengan adik beradik yang lain," katanya.

Menurut Mohd Noor, dia mengetahui kejadian kemalangan menimpa anaknya itu selepas dimaklumkan anak bongsunya, Muhammad Hafizi, 22, yang dihubungi isteri Allahyarham.

"Malam tadi saya dan isteri berada di bilik dan didatangi anak memaklumkan Muhamad Hafizan sudah tiada akibat kemalangan.

"Berderau juga jantung apabila mendengar berita sedih itu dan kami sekeluarga bersiap dan terus ke Hospital Tanjong Karang," katanya.

Ibu Muhamad Hafizan, Siti Zubaidah Hamzah, 55, berkata, dia reda dengan ketentuan Ilahi, namun tetap berasa sedih lebih-lebih lagi tidak dapat menyambut Aidiladha bersama Allahyarham yang berhasrat untuk beraya bersama keluarga.

Menurutnya, Muhamad Hafizan ada memberitahu ingin berjumpa abangnya, Muhammad Hafiz, 30, yang menetap di Kota Bharu, Kelantan selepas tidak dapat pulang pada Aidilfitri lalu.

"Kami memang bercadang berkumpul pada hari raya korban ini di rumah saya, namun perancangan ALLAH lebih baik buat kami sekeluarga.

"Saya mendoakan agar arwah anak ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh dan beriman serta reda dengan ketentuan-Nya," katanya.

Sementara itu jenazah Allahyarham Muhamad Hafizan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Badong pada jam 9 pagi tadi.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang penunggang motosikal maut selepas digilis sebuah treler dalam kejadian di Kilometer 41 Jalan Kuala Selangor - Teluk Intan di sini malam tadi.

Kejadian jam 10.11 malam itu berlaku ketika mangsa, Muhamad Hafizan dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas bekerja di sebuah kedai peruncit perkakas rumah di Kapar.