Kegiatan sindiket proses dadah di rumah sewa terbongkar

Arjunaidi (dua dari kanan) menujukkan antara rampasan peralatan dan dadah yang dirampas polis, Jumaat lalu.
Arjunaidi (dua dari kanan) menujukkan antara rampasan peralatan dan dadah yang dirampas polis, Jumaat lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kegiatan dua sindiket yang menyewa kediaman lalu dijadikan sebagai makmal memproses dadah berjaya dipatahkan polis sekali gus merampas bahan terlarang itu yang bernilai kira-kira RM5.46 juta dalam serbuan berasingan pada Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan pertama oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Petaling Jaya dengan kerjasama JSJN Kuala Lumpur berjaya menumpaskan satu sindiket dalam serbuan di sebuah rumah jenis semi-D di Damansara Perdana, Petaling Jaya.

Menurutnya, serbuan kira-kira jam 2.45 petang itu berjaya memberkas lima suspek termasuk seorang wanita warga Vietnam serta lelaki warga Singapura.

"Turut ditahan berhampiran rumah terbabit adalah dua suspek termasuk seorang wanita. Dalam serbuan ini, polis merampas pil ekstasi (548 biji), ketamin (167 gram), serbuk MDMA (0.87 kilogram), eramin 5 (158 biji) serta pelbagai bahan kimia.

"Dalam serbuan seterusnya pada hari sama kira-kira jam 9.30 malam, satu lagi sindiket berjaya ditumpaskan susulan penahanan seorang lelaki dan rampasan dadah heroin seberat 180 gram di sebuah hotel di Kajang," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Antara dadah yang dirampas polis dalam serbuan, Jumaat lalu.
Antara dadah yang dirampas polis dalam serbuan, Jumaat lalu.

Tambahnya, soal siasat ke atas suspek membawa kepada serbuan di sebuah apartment di USJ 19, Subang Jaya.

"Pemeriksaan di apartment terbabit menemui dadah jenis heroin (9.35 kilogram), syabu (280 gram), kafein (2.7 kg), peralatan memproses dadah serta sepucuk pistol," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Arjunaidi berkata, nilai keseluruhan dadah yang dirampas seberat kira-kira 102.04 kilogram itu dianggar bernilai RM5.46 juta manakala, nilai sitaan tiga buah kenderaan serta wang tunai adalah berjumlah RM116,373.

Katanya, polis percaya dua sindiket ini menjadikan kediaman terbabit sebagai makmal untuk memproses dadah sejak enam bulan lalu.

"Siasatan masih dijalankan dan kesemua suspek direman untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960," katanya.