Polis Johor fokus atasi gejala minum, pandu

MOHD KHALIL KADER
MOHD KHALIL KADER
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mengatasi gejala minum alkohol dan pandu akan menjadi keutamaan Polis Johor bagi perancangan gerak kerja sepanjang perayaan Tahun Baru Cina, kali ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader berkata, mewujudkan persekitaran selamat adalah tanggungjawab pihaknya selain tidak mahu musim perayaan yang seharusnya indah diakhiri dengan perkara tidak diingini.

“Operasi kita memang ada perancangan, kita akan gerak kerja membabitkan beberapa aspek termasuk menangani masalah minum dan pandu. Ia kerana tabiat ini sesuatu yang tidak disenangi malah mampu menjejaskan keselamatan pengguna lain.

“Untuk itu kita juga akan melakukan pemeriksaan di beberapa kawasan yang wajar antaranya kelab malam, pub dan pusat hiburan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, jabatan siasatan jenayah (JSJ) dan jabatan siasatan jenayah narkotik (JSJN) juga sudah melaksanakan gerak kerja berhubung perkara itu di beberapa kawasan tumpuan negeri ini.

“Sebenarnya kita di JSJ dan JSJN sudah pun bertindak awal, kesemua pegawai dan anggota dari jabatan ini telah ke tempat tertentu untuk tujuan pemantauan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khalil berkata, peluang yang ada dalam setiap operasi juga akan dimanfaatkan untuk mengatasi sebarang kes melibatkan perjudian atau gengsterisme negeri ini.

Artikel Berkaitan: