1MDB: Kerajaan mahu sekat Petrosaudi guna dana AS$340 juta

Gambar fail menunjukkan poster syarikat 1MDB di sebuah papan tanda di Kuala Lumpur. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan poster syarikat 1MDB di sebuah papan tanda di Kuala Lumpur. - Foto AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk mendapatkan perintah larangan terhadap PetroSaudi International Ltd dan Tarek Obaid daripada menggunakan lebih dari AS$340 juta (RM1.45 bilion) yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ketika ditemui selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Mahyuddin Md Som, Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed berkata, bagi permohonan saman berkenaan, mahkamah menetapkan Khamis ini untuk mendengar permohonan ex-parte di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Beliau berkata, ia membolehkan wang berkenaan dibekukan sebelum dilucut hak kepada kerajaan.

“Permohonan larangan itu adalah mengenai AS$340 juta yang kini disimpan dalam akaun amanah oleh sebuah firma guaman di United Kingdom (UK).

“Kerajaan berpendapat wang di Clyde & Co LLP milik PetroSaudi dan anak syarikatnya PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Limited adalah hasil daripada pengubah wang haram,” katanya.

Beliau berkata, asas permohonan ini adalah mengikut Seksyen 53, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga memfailkan larangan penggunaan wang yang disimpan dalam bank oleh Temple Fiduciary Services Limited.

Selepas mendapat perintah larangan berkenaan, Budiman berkata, ia akan dihantar ke ‘Crown Prosecution Service’ (CPS) di UK melalui saluran diplomatik.

Artikel Berkaitan:

Dalam afidavit sokongan, Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Afiq Abd Aziz berkata, AS$340 juta itu dikaitkan dengan konspirasi membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tarek Obaid dan Low Taek Jho ataupun Jho Low.

"Saya menyatakan, adalah penting wang yang menurut saya mewakili subjek, bukti yang berkaitan dengan kesalahan pengubahan wang haram di bawah Subseksyen 4 (1) AMLATFPUAA," katanya.