X

Kindly register in order to view this article
!

Lapan motosikal musnah bengkel terbakar

Sebuah bengkel motosikal terbakar di Jalan Kuala Ketil berhampiran Stesen Minyak Caltex tengah malam tadi.
A
A

SUNGAI PETANI - Lapan buah motosikal musnah manakala dua rosak dalam kebakaran sebuah bengkel motosikal di Jalan Kuala Ketil berhampiran Stesen Minyak Caltex di sini tengah malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 12.16 tengah malam.

Beliau berkata, sepasukan 11 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran itu.

"Setibanya di tempat kejadian, kita mendapati sebuah bengkel motosikal kelas C terbakar dengan anggaran kemusnahan dua peratus dari keseluruhan bengkel tetapi tidak melibatkan mangsa.

"Kebakaran turut melibatkan 10 motosikal pelbagai jenis yang berada di luar bengkel. Lapan daripadanya terbakar hampir 80 peratus manakala dua lagi terbakar 10 peratus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, anggota BBP Sungai Petani bertindak menggunakan pancutan dari tangki jentera untuk mengawal dan memadam kebakaran.

Menurutnya, pihaknya dapat mengawal kebakaran kira-kira jam 12.33 tengah malam sebelum api dipadamkan sepenuhnya tujuh minit kemudian.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus