X

Kindly register in order to view this article
!

MPK keluarkan 10 notis kacau ganggu

Kakitangan MPK menunjukkan jentik-jentik yang dijumpai dalam bekas bertakung di sebuah rumah kosong di Taman Permai Jaya hari ini.
A
A

KUANTAN - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mengeluarkan 10 notis kacau ganggu terhadap pemilik rumah yang didapati menyebabkan pembiakan nyamuk Aedes di kawasan taman perumahan di sekitar daerah ini.

Ketua Operasi Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Shahrul Azlan Abd Rahim berkata, notis itu dikeluarkan mengikut Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1979 kepada pemilik rumah bagi membersihkan kawasan rumah mereka.

Menurutnya, pihaknya memberikan tempoh tiga hari untuk pemilik rumah melakukan kerja-kerja pembersihan.

"Selepas tempoh itu, kami datang sekali lagi untuk membuat pemeriksaan.

“Jika pemilik rumah ingkar notis, kerja-kerja pembersihan akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan dan segala kos akan dituntut daripada pemilik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya operasi kacau ganggu bagi penularan bawak denggi di sekitar Kuantan hari ini.

Lebih 60 anggota dan pegawai MPK, Jabatan Kesihatan Daerah dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) terlibat dalam operasi itu.

Shahrul Azlan berkata, alasan yang diberikan pemilik rumah apabila rumah mereka didapati sarang membiak denggi adalah ketiadaan di rumah.

"Ini alasan biasa yang kita terima...tapi perkara ini (tiada di rumah) tidak boleh dijadikan alasan untuk membiarkan rumah sebagai tempat pembiakan nyamuk. Jadi kita beri peluang untuk mereka melakukan pembersihan kawasan dalam tempoh tiga hari," katanya.

Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan pematuhan masyarakat terhadap notis yang telah diberikan kepada mereka.

Katanya, dianggarkan kira-kira 82 peratus masyarakat yang diberikan notis mematuhi syarat ditetapkan dalam notis terbabit.

Sebelum itu, Shahrul Azlan berkata, peningkatan kes denggi disebabkan persekitaran rumah yang tidak bersih dan banyak bekas pembiakan di dalam dan luar rumah.

Katanya, sehingga 4 Julai lalu sebanyak 1551 kes denggi telah direkodkan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus