Membongkar kepalsuan mitos pasaran gelap

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sebuah kumpulan advokasi konsumer yang mewakili lebih 100 negara di seluruh dunia, Consumer Choice Center (CCC) hari ini menggesa rakyat Malaysia supaya menolak barangan pasaran gelap yang semakin berleluasa di negara ini dan keseluruhan rantau ASEAN.

Menurut laporan Organisation for Economic Co-operation and Development dan European Union Intellectual Property Office, perdagangan global di dalam barangan tiruan dan palsu telah meningkat daripada AS$461 bilion pada tahun 2013 kepada AS$509 bilion pada tahun 2016.

Di Malaysia, rokok seludup telah meningkat begitu besar sejak beberapa tahun ini daripada 36.9 peratus pada tahun 2015 kepada 62.3 peratus pada 2019, sebagaimana dilaporkan di dalam Kajian Rokok Haram di Malaysia 2019 yang dianjurkan oleh syarikat-syarikat ahli CMTM.

Malah, Malaysia juga menyaksikan pertambahan produk pasaran gelap seperti alkohol tiruan, ubat-ubatan palsu, barangan mewah tiruan, elektronik konsumer palsu dan paling terkini, pelitup muka palsu.

Fred Roeder
Fred Roeder

Pengarah Urusan CCC, Fred Roeder berkata, pasaran gelap ini bukan sahaja mengenai kehilangan hasil cukai kepada kerajaan atau pelanggaran harta hak cipta intelek bahkan sebenarnya menggadaikan kesihatan dan keselamatan konsumer.

“Untuk menghentikan pasaran gelap, para konsumer, penggubal dasar dan perniagaan sah hendaklah pertamanya memahami apa itu pasaran gelap dan apa yang tidak benar mengenainya,’’ kata Roeder.

Berikut adalah antara mitos palsu yang menyelubungi produk pasaran gelap yang dibongkar oleh CCC:

Artikel Berkaitan:

Mitos 1 – Konsumer tahu bahawa mereka membeli produk pasaran gelap.

Realiti

Roeder berkata, konsumer mendapati semakin sukar untuk mengesahkan jika pembelian mereka itu adalah barangan sah, walaupun dibeli menerusi sumber-sumber dipercayai.

“Majoriti pembeli secara dalam talian tidak memahami tahap penipuan di dalam internet, apalagi mereka ada perisian untuk mengesan atau mengelakkannya. Kebanyakan berfikir bahawa mereka menerima tawaran sangat hebat,’’ kata Roeder.

Dalam hal rokok seludup, katanya, ada kalanya sukar untuk mengesan rokok tiruan atau seludup kerana kotak bungkusannya sama dengan yang asli, termasuk stem cukai palsu.

Mitos 2 – Barangan pasaran gelap hanya dibeli menerusi saluran `bawah tanah’

Realiti:

Roeder menjelaskan semakin ramai konsumer hari ini beralih kepada pembelian secara dalam talian namun begitu, laman web ‘pasaran gelap’ kelihatan serupa dengan mana-mana platform e-dagang sehingga mengelirukan pengguna.

"Sebenarnya, sesetengah jenama e-dagang popular juga menjual barangan tiruan atau produk pasaran gelap. Penjarakan sosial dan pertumbuhan mata wang digital juga dijangka memacu pertumbuhan produk palsu dan haram seiring dengan langkah kita ke dalam kebiasaan baharu,’’ tambah beliau.

Mitos 3 – Hanya yang berpendapatan rendah beli produk pasaran gelap

Realiti:

Jelas Roeder, dagangan pasaran gelap berlaku tanpa mengira lapiran masyarakat.

"Dengan produk pasaran gelap meluaskan produknya dan semakin mudah didapati secara dalam talian, lebih ramai orang tanpa mengira usia, pendapatan dan lokasi akan terdedah kepada produk-produk ini,’’ katanya.

Mitos 4 – Konsumer beli barangan pasaran gelap kerana ia lebih murah.

Realiti

Menurut Roeder, harga adalah faktor utama, tetapi bukan satu-satunya faktor.

“Dagangan rokok seludup, contohnya. Perdagangan ini telah tumbuh mekar di Malaysia berikutan pertambahan besar di dalam duti eksais pada 2015. Ketika itu, bahagian pasaran rokok seludup hanya sekitar 30 peratus, tetapi kini ia adalah 62 peratus. Jelas, konsumer beralih kepada rokok seludup yang hanya berharga RM4.50 berbanding rokok sah RM10 sekotak.

“Kesenangan dan akses mudah juga merupakan faktor penyumbang. Undang-undang Malaysia tidak membenarkan rokok sah dijual secara dalam talian, turut mendorong konsumer beralih kepada rokok seludup. Oleh kerana ia mudah dibeli dan dibayar secara dalam talian, penghantaran khas barangan tersebut pula terus ke pintu rumah mereka,’’ ujarnya.

Dalam usaha mengekang perluasan pasaran gelap di Malaysia, katanya, CCC menyarankan pendekatan pelbagai serampang mata merangkumi semua pihak berkepentingan, dari konsumer hingga penggubal dasar, agensi-agensi kerajaan hingga syarikat-syarikat korporat.

Beliau berkata, apa yang diperlukan segera ialah meningkatkan peraturan dan dasar-dasar yang mengambil kira tingkah laku pembelian semasa konsumer dan kaedah kontemporari pengedaran bagi pengendali produk pasaran gelap.

“Konsumer juga boleh memainkan peranan di dalam laman web pemberi maklumat dan platform e-dagang yang menjaja produk pasaran gelap. Seterusnya, pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan pantas dan mengheret pesalah-pesalah ke muka pengadilan,’’ tambah beliau.

Dalam usaha memelihara keselamatan konsumer Malaysia daripada pasaran gelap dan membantu Kerajaan Malaysia di dalam menangani masalah yang semakin meluas dan memberi kesan terhadap negara dan jiran-jirannya, CCC akan membuka pejabatnya di Malaysia tidak lama lagi.

“Kami berharap dapat berhubung dengan konsumer dan penggubal undang-undang Malaysia menerusi perkongsian pendidikan, pengetahuan dan perisikan serta advokasi positif bagi melancarkan kemajuan ekonmi,’’ kata Roeder.