X

Kindly register in order to view this article
!

Sultan Perak berkenan terima zakat perniagaan enam bank

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyerahkan cek zakat perniagaan berjumlah lebih RM2.7 juta bagi tahun 2019 kepada Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin di Istana Perak, Changkat Persekutuan hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan menerima zakat perniagaan daripada enam bank bagi tahun 2019 berjumlah lebih RM2.7 juta pada majlis di Istana Perak, Changkat Persekutuan di sini.

Sultan Nazrin berkenan menerima zakat perniagaan tersebut bagi pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Pada majlis itu, Bank Rakyat menyampaikan zakat perniagaan berjumlah RM979,285; Maybank Islamic Bank Berhad (RM846,779); Bank Islam (M) Berhad (RM340,000); RHB Islamic Bank Berhad (RM300,000); Bank Muamalat Malaysia Berhad (RM196,087) dan Affin Islamic Bank Berhad (RM100,000).

Cek bagi zakat itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Datuk Rosman Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Bank Berhad Datuk Mohamed Rafique Merican Mohd Wahiduddin Merican; dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam (M) Berhad, Mohd Muazzam Mohamed.

Selain itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad Ahmad Rizal Lope Zainal Abidin; Pemangku Ketua Syariah Divisyen Bank Muamalat Malaysia Berhad, Mohd Izuwan Mahyudin; dan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad, Nazlee Khalifah.

Baginda kemudian menyerahkan cek berkenaan kepada Yang Dipertua MAIPk Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin.

Turut hadir Ahli Majlis MAIPk iaitu Datuk Seri Mohd Annuar Zaini; Profesor Datuk Dr Ansary Ahmed dan Datuk Dr Afifi Al-Akiti. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus