Bomba bantu OKU terperangkap banjir

Rosli dipindahkan ke HPSF selepas rumahnya dinaiki air hari ini.
Rosli dipindahkan ke HPSF selepas rumahnya dinaiki air hari ini.
A
A
A

MUAR - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dipindahkan selepas rumahnya di Taman Orkid di sini dinaiki air akibat banjir hari ini.

Lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar memindahkan Rosli Mohd Sais, 33, ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini pada jam 8.30 pagi.

Ketua Operasinya, Penguasa Bomba Kanan I Ismail Mahmod berkata, OKU tersebut dipindahkan dengan menggunakan satu jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Sebelum itu banjir berlaku di rumah lelaki OKU berkenaan dan air naik sehingga kira-kira satu meter," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi memindahkan lelaki OKU berkenaan berjalan lancar dan tamat sepenuhnya pada jam 10.40 pagi.

Anggota bomba memindahkan Rosli selepas rumahnya dinaiki air di Taman Orkid, Muar hari ini.
Anggota bomba memindahkan Rosli selepas rumahnya dinaiki air di Taman Orkid, Muar hari ini.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 1,271 orang daripada 331 keluarga setakat jam 8 pagi semalam dengan Batu Pahat merupakan daerah terbaru dilanda bencana alam itu.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Batu Pahat iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sampurna menempatkan 15 orang daripada empat keluarga dari Kampung Sungai Punggor, Kampung Sungai Punggor Kecil dan Kampung Parit Mengkudu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jumlah mangsa banjir di tiga lagi daerah membabitkan 267 orang daripada 63 keluarga di tiga PPS di Tangkak, Muar (lapan PPS membabitkan 818 mangsa daripada 215 keluarga) dan Pontian (tiga PPS dengan 171 mangsa daripada 49 keluarga).

“Di Muar, satu lagi PPS iaitu di SK Ismail Satu dibuka bagi menempatkan penduduk dari Kampung Kelantan dan Kampung Dato’ Sri Amar Diraja,” katanya.