Audit: 214,398 warga asing tidak ada rekod keluar Malaysia

 Seramai 214,398 warga asing didapati tidak mempunyai rekod keluar dari Malaysia setakat 15 April lepas. Gambar hiasan.
Seramai 214,398 warga asing didapati tidak mempunyai rekod keluar dari Malaysia setakat 15 April lepas. Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 214,398 warga asing didapati tidak mempunyai rekod keluar dari Malaysia setakat 15 April lepas, demikian Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3 yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

Ini berikutan, Sistem MyIMMs (Sistem Imigresen Malaysia) tidak dapat mengesahkan pergerakan mereka kerana berlaku masalah system down sebanyak 4,489 kali bagi tempoh 2016 hingga 2018.

“Pada pendapat Audit, sistem MyIMMs yang kerap downtime (masa rosak) dan berlakunya isu teknikal pengoperasian sistem boleh menjejaskan integriti data bagi rekod pergerakan keluar/masuk di pintu sempadan negara,” menurut laporan itu.

Laporan itu berkata, terdapat 29 patch on sistem lain yang berurusan dengan sistem MyIMMs menyebabkan sistem menjadi tidak stabil.

Berikutan ketidakstabilan itu, terdapat data yang telah dimasukkan oleh pegawai seperti pengesahan keluar/masuk di pintu masuk tidak dapat direkodkan oleh sistem atau tidak dapat diintegrasikan dengan sistem MyIMMs.

“Antara faktor warga asing yang masuk ke Malaysia tetapi tiada rekod keluar adalah kerana sistem mengalami masalah integrasi yang menyebabkan berlakunya isu teknikal pengoperasian sistem,” kata laporan itu.

Laporan itu juga mendapati daripada jumlah 214,398 warga asing berkenaan, seramai 5,750 orang telah disahkan keluar dan 8,404 orang memiliki pas jangka panjang seperti Pas Lawatan Ikhtisas, Pas Lawatan Kerja Sementara, Pas Pelajar dan Pas Residen.

Selain itu, seramai 1,765 orang telah diambil tindakan oleh unit penguatkuasaan manakala bagi baki selebihnya seramai 198,479 warga asing tiada rekod keluar.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, sistem berkenaan juga tidak dapat melaksanakan proses padanan data bagi setiap pelawat sekiranya pelawat tersebut tidak melakukan pergerakan keluar/masuk berulang kali setiap hari (pelawat sempadan),” menurut laporan berkenaan.

Menurut laporan itu, Jabatan Imigresen telah melaksanakan langkah penambahbaikan bermula bulan Mac tahun ini bahawa proses padanan data dilaksanakan pada bila-bila masa.

Semakan Audit selanjutnya mendapati daripada 214,398 rekod warga asing berkenaan, pihak Audit telah memilih 300 warga asing sebagai sampel.

“Berdasarkan sampel itu, selain daripada tiada rekod keluar, pihak Audit turut mendapati warga asing berkenaan telah tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan iaitu dari 121 hingga 1,087 hari. - Bernama