X

Kindly register in order to view this article
!

255 individu ingkar jalani saringan kedua Covid-19

Mereka digesa untuk tampil ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdekatan untuk menjalani ujian saringan kedua. Foto: 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan akan diambil terhadap 255 individu yang didapati masih ingkar menjalani ujian saringan kedua koronavirus (Covid-19) pada hari ke-13 kuarantin di rumah, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau individu terbabit dan mengesan lokasi mereka.

Menurutnya, mereka digesa untuk tampil ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdekatan untuk menjalani ujian saringan kedua.

“PDRM akan mengambil tindakan jika mereka masih ingkar termasuk kompaun RM1000 ataupun (dihadapkan ke mahkamah yang membawa hukuman) penjara maksimum dua tahun,” katanya dalam sidang akhbar mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan memandang serius kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti yang berlaku di Melaka apabila individu terbabit tidak berkurung di dalam bilik sahaja sewaktu kuarantin di rumah dan telah menjangkiti bapanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 17,689 orang telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari 10 Jun sehingga 13 Julai lepas.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 17,616 individu telah diperintahkan untuk menjalani kuarantin di rumah dan 73 orang lagi telah dibawa ke hospital.

“Pada 13 Julai 2020, sebanyak 536 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui KLIA dan klia2 dari Pakistan, Indonesia, Qatar, Singapura, Jepun, United Kingdom, Vietnam, Belanda, India dan China,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia yang ingin pulang dari luar negara perlu menjalani ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum tarikh berlepas pulang dan ini bagi mengelakkan mereka tidak dibenarkan menaiki pesawat.

Ismail Sabri berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP juga telah membuat keputusan untuk tidak membenarkan ekspatriat keluar dari Malaysia untuk bercuti.

“Jika mereka didapati melanggar peraturan ini, mereka tidak akan dibenarkan pulang ke Malaysia sehingga satu tarikh yang ditetapkan,” tegasnya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus