Naik taraf sistem air di Felda tidak dilaksana secara berhemat

Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid menunjukkan laporan Audit Negara pada sidang media Laporan Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan tahun 2018 Siri Tiga dan Laporan Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Tahun 2018 Siri Tiga hari ini. - Foto Bernama
Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid menunjukkan laporan Audit Negara pada sidang media Laporan Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan tahun 2018 Siri Tiga dan Laporan Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Tahun 2018 Siri Tiga hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Dua projek menaiktaraf sistem bekalan air di seluruh kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di negara ini didapati tidak di laksanakan secara berhemat, cekap dan berkesan sehingga menyebabkan ia gagal disiapkan dari tarikh yang ditetapkan.

Menerusi Laporan Ketua Audit Negara bagi Tahun 2018 Siri 3 mendapati dua projek berkenaan masing-masing sepatutnya siap sepenuhnya dalam tempoh 45 bulan bermula Mac 2013 dan 36 bulan mulai Januari 2016.

Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majib berkata, kelewatan itu menyebabkan objektif untuk mengurangkan gangguan bekalan air masih belum tercapai.

"16 pakej projek telah berlaku time at large antara 135 hingga 842 hari dan sembilan pakej berlaku dan sebanyak 12 justifikasi lanjutan masa (EOT) meliputi tempoh 14 hingga 182 hari boleh dielakkan jika perancangan teliti sejak awal pelaksanaan projek," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, laporan audit juga mendapati Felda telah membayar RM924,600 bagi pembekalan tujuh kenderaan pacuan empat roda dalam projek tersebut yang dimasukkan ke dalam kontrak.

"Sepatutnya ia tidak berlaku kerana pembelian kenderaan projek adalah bertentangan dengan peraturan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut mengalami kerugian sebanyak RM49,860 akibat lebihan tuntutan kadar levi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang diluluskan kepada kontraktor.

"Kadar levi yang di qoute oleh kontraktor didapati melebihi daripada kadar sebenar dan Felda bersetuju untuk membayarnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Felda sepatutnya membuat semakan terlebih dahulu sebelum meneruskan pembayaran.

"Jabatan Audit tidak pasti bagaimana ia boleh berlaku. Sama ada wujud pakatan ataupun tidak," katanya.

Sehingga 2018, kerajaan telah menyalurkan RM621 juta bagi pelaksanaan projek tersebut bagi memberi manfaat kepada penduduk Felda mendapatkan air bersih.