X

Kindly register in order to view this article
!

2 jam kejar samseng laut

Muhammad Suffi (kiri) melihat proses saringan koronovirus (Covid-19) yang dilakukan kakitangan kesihatan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu ke atas kesemua nelayan asing yang ditahan di pekarangan bangunan APMM Terengganu.
A
A

KUALA TERENGGANU- Bukan saja bertindak berani menceroboh perairan negara, malah dua bot nelayan Vietnam turut berlagak samseng di lautan apabila bertindak agresif cuba meloloskan diri daripada anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang bertugas dalam rondaan Op Iman kelmarin.

Kedegilan dan sikap biadab nelayan asing itu menyebabkan kru KM Satria dan KM Mulia mengambil masa dua jam sebelum menahan bot berkenaan masing-masing pada kedudukan 106.2 batu nautika dan 122.4 batu nautika dari Kuala Terengganu.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, terdahulu KM Satria mengesan bot pertama yang sedang mencuri hasil laut di kedudukan 106.2 batu nautika iaitu kira-kira jam 11.17 pagi.

"Semasa dalam perjalanan membawa balik bot ke Jeti Maritim Terengganu, kru KM Mulia mengesan sebuah lagi bot nelayan asing di kedudukan 122.4 batu nautika, kira-kira jam 3.27 petang.

"Ketika hendak merapati bot terbabit untuk pemeriksaan, secara tiba-tiba kru bot bertindak agresif memecut melarikan diri sebelum ditahan semula selepas hampir dua jam dikejar," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat APMM Terengganu di sini hari ini.

Salah sebuah bot milik nelayan asing yang berjaya ditahan selepas hampir dua jam dikejar APMM.
Salah sebuah bot milik nelayan asing yang berjaya ditahan selepas hampir dua jam dikejar APMM.

Katanya, pihaknya mengambil masa lebih 38 jam untuk proses menunda dan membawa balik kedua-dua bot tersebut yang mengalami kerosakan enjin ke jeti APMM Terengganu.

"Selain kerosakan enjin yang dipercayai sengaja dirosakkan oleh kru tersebut bertujuan menyukarkan dan melambatkan pergerakan, kami juga terpaksa berdepan cuaca yang tidak menentu.

"Ini merupakan cabaran yang sering ditempuh oleh pihak kami dalam melaksanakan proses penahanan ke atas bot-bot nelayan asing ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya merampas kedua-dua bot berkenaan, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan pelbagai spesies serta bekalan diesel yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM2 juta.

Muhammad Suffi berkata, semakan dilakukan mendapati 28 warganegara Vietnam ditahan membabitkan dua tekong dan kru yang ditangkap berusia antara 20 hingga 56 tahun.

"Pemeriksaan pada bot pertama membawa kepada tangkapan seorang tekong dan 11 kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Sementara pemeriksaan di bot kedua pula kami menahan seorang tekong dan 15 kru serta semakan juga mendapati mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

"Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara dan Akta Imigresen kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

Jelasnya, kejayaan itu menjadikan jumlah tangkapan bot nelayan asing menerusi Op Iman hanya dalam tempoh dua minggu dilaksanakan iaitu sebanyak 16 buah dengan penahanan seramai 187 kru keseluruhan.

Katanya, pencerobohan ke atas perairan negara sangat serius kerana aktiviti tangkapan ikan di dalam perairan negara dilakukan hampir setiap hari.

"Justeru itu, kami memohon kerjasama masyarakat terutama nelayan tempatan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku di perairan negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) APMM Terengganu," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus