Cedera dibelasah rakan gara-gara takut kisah silam tular

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA NERUS - Gara-gara takut kisah lampau didedahkan di media sosial, seorang pemuda sanggup membiarkan diri dibelasah oleh seorang rakannya selepas berselisih faham dalam kejadian di tepi pantai Seberang Takir berhampiran Drawbridge di sini Ahad lalu.

Ketika kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa berusia 21 tahun hanya berdiam diri dan membiarkan suspek menendang badannya kerana ketakutan akibat diugut oleh suspek yang mahu menghebahkan kisah silam mangsa di laman sosial sekiranya melawan.

Menurut sumber, perselisihan faham dipercayai tercetus antara dua kenalan ini selepas tindakan mangsa yang terlepas cakap menyebabkan suspek naik angin.

"Gagal mengawal amarah, suspek menendang seluruh anggota badan mangsa sambil memberi amaran agar jangan melawan dan mengugut menyebarkan kisah silam rakannya itu di laman sosial. Suspek dikatakan mengajak mangsa ke rumahnya di Kampung Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu dan di sana sekali lagi suspek menumbuk perut mangsa.

"Suspek turut memaki hamun mangsa menggunakan kata-kata kesat serta menampar muka mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sumber berkata, tidak tahan 'diseksa' rakannya itu, pemuda itu akhirnya memberanikan diri beredar dari lokasi tersebut untuk mendapatkan bantuan sebelum ke balai berhampiran bagi membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian.

Menurutnya, suspek berjaya ditahan di rumahnya kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin dan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Artikel Berkaitan: