Minum air takungan paya

Azid sedang mengambil air dari takungan paya tersebut yang menjadi bekalan air untuk keperluan hariannya dan keluarga.
A
A

ROMPIN - Kira-kira lebih lima buah rumah di Kampung Lantang, Setajam di sini mendakwa tidak menerima bekalan air bersih dan hanya bergantung dengan air takungan paya sejak Jun tahun lalu.

Difahamkan, penduduk terpaksa menggunakan air takungan paya yang dikhuatiri kebersihan termasuklah berisiko dicemari racun daripada sawah selain dicemari kencing tikus.

Begitulah nasib penduduk di kampung tersebut yang masih belum menikmati air bersih walaupun negara tidak sampai setahun lagi akan mencapai Wawasan 2020.

Seorang penduduk, Azid Hassan, 52, berkata, kawasan paya takungan itu juga turut dipenuhi rumput dan lumut di samping berisiko dimasuki air sawah yang hanya bersebelahan paya tersebut.

Menurutnya, walaupun terdapat tangki air disediakan tetapi tiada bekalan air sejak Jun tahun lalu menyebabkan penduduk terbeban untuk mendapatkan air bersih sebagai minuman.

"Kami tiada pilihan lain selain terpaksa menggunakan takungan paya berkenaan kerana tiada bekalan air bersih yang disalurkan meskipun paip air utama telah lama dipasang.

"Sebelum ini kami telah membayar lebih RM400 kepada seorang individu yang berjanji akan menguruskan pemasangan air tetapi sehingga kini kami tidak mendapat pun air bersih.

"Jadi kami terpaksa menggunakan air kolam yang digali meskipun mengalami kegatalan badan selepas mandi dan bagi anak kecil kami terpaksa membeli air paip dan mengehadkan penggunaan penggunaan untuk mereka mandi," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Azid berkata, pada masa ini dia yang tinggal bersama 10 ahli keluarga terpaksa bergantung kepada air paya berkenaan yang digunakan untuk urusan seharian.

"Meskipun menggunakan air yang dibeli untuk minuman, kadangkala kami terpaksa memasak air paya berkenaan untuk diminum," katanya.

Sementara itu, bagi Mohammad Izzudin Azis,22, berkata, ketiadaan air paip amat membebankan mereka yang terpaksa membeli air ke rumah penduduk berhampiran yang berjarak lebih empat kilometer.

Beliau turut menggesa agar pihak berwajib supaya mengambil tindakan segera mengatasi permasalahan itu kerana penduduk sudah terlalu lama tidak menikmati bekalan air bersih

"Saya bukannya tidak bersyukur, tetapi kemudahan asas seperti air ini perlu diambil kira kerana air penting untuk digunakan dalam keperluan harian seperti memasak, mandi dan juga untuk minum

"Sebelum ini ada air bersih disediakan di dalam tangki air paip untuk kegunaan penduduk tetapi sejak bulan Jun tahun lalu tiada lagi air bersih disediakan. Saya harap pihak berwajib ambil tindakan secepat mungkin," katanya.