Kasih kakak untuk tiga adik

Razman (kanan) ketika mengadakan kunjungan ke rumah sewa didiami empat beradik yatim piatu di Taman Serai Permai, Bagan Serai kelmarin.
Razman (kanan) ketika mengadakan kunjungan ke rumah sewa didiami empat beradik yatim piatu di Taman Serai Permai, Bagan Serai kelmarin.
A
A
A

BAGAN SERAI - Seorang kakak terpaksa menggunakan wang biasiswa diterima bagi membayar sewa rumah yang didiami bersama tiga adik perempuannya di Taman Serai Permai di sini sejak tiga tahun lalu.

Amirah Syamimi Jusop, 22, yang merupakan pelajar tahun ketiga di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperuntukkan RM370 setiap bulan untuk bayaran sewa rumah selepas kematian ibu bapa mereka pada tahun 2015.

Amirah Syamimi berkata, sebelum ini, dia bersama adik-adiknya, Amirah Syazana, 20, dan Amirah Syazani, 20, yang merupakan pasangan kembar serta Amirah Syaffinas, 18, menumpang di rumah saudara mara di Simpang Tiga, Kuala Kurau.

Menurutnya, mereka mengambil keputusan untuk berpindah ke rumah sewa itu pada tahun 2017 kerana mahu belajar berdikari serta untuk meneruskan pelajaran.

"Saya dan adik menyewa rumah di sini dengan bayaran RM370 sebulan hasil wang biasiswa yang diterima dari Yayasan Sime Daby.

"Arwah bapa ada pesan supaya saya teruskan pelajaran dan jaga adik dengan baik. Saya ambil tanggungjawab itu bagi memastikan masa depan saya dan adik terjamin supaya kami dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik walaupun tanpa kehadiran ibu bapa di sisi," katanya ketika ditemui pemberita susulan lawatan Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria di sini kelmarin.

Amirah Syamimi (kanan) bersama Amirah Syaffinas (dua dari kanan) serta pasangan kembar, Amirah Syazani dan Amirah Syazana di rumah sewa mereka di Taman Serai Permai, Bagan Serai kelmarin.
Amirah Syamimi (kanan) bersama Amirah Syaffinas (dua dari kanan) serta pasangan kembar, Amirah Syazani dan Amirah Syazana di rumah sewa mereka di Taman Serai Permai, Bagan Serai kelmarin.

Amirah Syamimi berkata, ibunya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada April 2015 dan bapanya pula meninggal dunia lima bulan kemudian akibat penyakit tibi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Amirah Syazana kini sedang melanjutkan pelajaran di tahun kedua dalam bidang kejuruteraan di Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang manakala Amirah Syazani pula dalam bidang perakaunan di Politeknik Seberang Perai di Pulau Pinang.

Sementara Amirah Syaffinas akan melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang pada Ogos ini.

Sementara itu, Razman berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan Baitulmal bagi membantu membayar sewa rumah empat beradik yatim piatu itu.

Kepada yang berhasrat membantu boleh hulurkan sumbangan kepada Amirah Syamimi menerusi akaun Maybank 158417216863.