X

Kindly register in order to view this article
!

RM5.2 bilion diagih bawah subsidi upah inisiatif Prihatin

M Saravanan
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kementerian Sumber Manusia telah mengagihkan 38 peratus atau RM5.2 bilion daripada RM13.8 bilion yang diperuntukkan di bawah program subsidi upah inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) setakat 30 Jun.

Menterinya, Datuk M Saravanan berkata, sepanjang tempoh subsidi upah ini dilaksanakan, sektor perkhidmatan merupakan sektor yang tertinggi memohon dengan 92,000 permohonan.

Program itu dilancarkan untuk mengurangkan beban rakyat yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

“Semasa pelancaran awal, program ini dimulakan dengan dana sebanyak RM5.8 bilion. Atas permintaan pihak-pihak industri, kerajaan telah menambah dana sebanyak RM8 bilion,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Parlimen hari ini.

Tambahnya lagi, inisiatif subsidi upah itu juga telah dilanjutkan daripada tiga bulan kepada enam bulan.

“Sehingga 30 Jun, hampir 38 peratus iaitu RM5.2 bilion daripada jumlah keseluruhan dana telah diagihkan kepada majikan yang layak oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Pengagihan tersebut melibatkan 319,000 majikan untuk 2.6 juta orang pekerja,” katanya.

Beliau menjelaskan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan untuk membendung Covid-19 tempoh hari, syarikat terpaksa memberhentikan pengeluaran dan operasi sekali gus menghadapi kesukaran untuk mengekalkan pekerja.

“Inisiatif ini ialah untuk mengurangkan impak Covid-19 kepada ekonomi yang menyebabkan peningkatan kepada kadar pengangguran,” kata Saravanan.

Berdasarkan rekod pemberhentian pekerja yang dilaporkan kepada Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso, seramai 48,727 orang telah kehilangan pekerjaan dari Januari hingga 30 Jun 2020.

Sementara data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pula, kadar pengangguran negara telah melonjak kepada lima peratus kepada 778,800 orang pada April lalu.

Antara sektor yang paling terjejas adalah sektor pembuatan dan perkhidmatan; penginapan dan makanan dan minuman; kesenian, hiburan, rekreasi dan perkhidmatan lain seperti pusat kecantikan dan salon. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf