X

Kindly register in order to view this article
!

Kementerian, jabatan berlembut kenakan hukuman terhadap kakitangan

Nik Azman menunjukkan Laporan Ketua Audit Negara tahun 2018 Siri 3 hari ini.
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Jabatan Audit Negara (JAN) berpendapat terdapat kementerian, jabatan dan agensi yang masih berlembut dalam memutuskan tindakan terhadap kakitangan serta pegawai yang terlibat berhubung isu ketidakcekapan dan ketidakakuran dalam pengurusan program, aktiviti serta projek.

Bagaimanapun Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, pihaknya tidak boleh campur tangan dalam keputusan terhadap tindakan berkenaan.

"Mungkin semasa membuat keputusan, mereka mengambil kira mitigasi dan aspek-aspek lain yang mungkin boleh mengurangkan hukuman," katanya.

Menurutnya, sejak 2012 hingga 2018, 255 pegawai kerajaan dikenakan hukuman termasuk dengan sebilangan besar iaitu 141 diberi amaran.

"Seramai 11 orang dikenakan denda, 29 dikenakan surcaj, 26 ditangguhkan pergerakan gaji, 10 dikenakan turun gaji dan lain-lain lagi tindakan," katanya.

Beliau berkata, seramai dua pegawai dijatuhi hukuman oleh mahkamah selepas didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Seramai tiga pegawai telah dibuang kerja," katanya pada sidang media Laporan Ketua Audit Negara mengenai aktiviti kementerian, jabatan dan badan berkanun bagi tahun 2018 Siri 3.

Menyentuh mengenai laporan tersebut, Nik Azman berkata, terdapat isu ketidakcekapan dan ketidakakuran dalam pengurusan program, aktiviti serta projek melibatkan kementerian, jabatan dan badan berkanun bagi tempoh 2016 hingga 2018.

Tambahnya, perkara itu telah menjejaskan kecekapan dan keberkesanan dalam menghasilkan output, outcome dan impak seperti diharapkan.

"Dengan kata lain program dan aktiviti yang dijalankan tidak memberi impak optimum," katanya.

Menurutnya, sebanyak 12 pengauditan prestasi bernilai RM742.476 bilion dilakukan JAN melibatkan program dan projek di 10 kementerian.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 10 pengauditan melibatkan kategori program dan aktiviti manakala masing-masing kategori pembinaan serta sistem teknologi maklumat (ICT)," katanya.

Terdahulu, beliau berkata, Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 sepatutnya dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat pada Mac lalu namun ditangguhkan akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

"Walaupun terdapat kelewatan dalam pembentangan namun nilai penemuan audit dilaporkan masih relevan dalam menambah baik pengurusan program dan aktiviti," katanya.

Menurutnya, JAN kebiasaannya akan memberi taklimat berhubung isu utama yang dibangkitkan dalam laporan itu kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Parlimen.

"Memandangkan pengerusi dan ahli PAC belum dilantik, jadi amalan kebiasaan tidak dapat diteruskan. Pembentangan akan dilakukan selepas urusan pelantikan selesai," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus