14 PATI cuba masuk Malaysia ditahan

14 PATI ditahan semalam oleh NTF.
14 PATI ditahan semalam oleh NTF.
A
A
A

MELAKA - Seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan selepas didapati cuba menyeludup masuk ke perairan negara melalui jalan tikus.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, mereka semua ditahan oleh National Task Force (NTF) daripada gabungan penguat kuasa APMM Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Pasukan Gerakan Am, Pegawai Perisikan Tentera dan Tim Op Merpati 1 Bridged dalam rondaan Op Benteng pada jam 11.30 pagi, semalam.

​”Kita berjaya mengesan sebuah bot fiber kelabu tanpa nombor pendaftaran sedang berapung dan bergerak dalam keadaan mencurigakan kira-kira 1.0 batu nautika dari pantai Bagan Lalang, Selangor,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebaik sahaja menyedari kehadiran bot ronda APMM, kesemua PATI bertindak terjun ke dalam laut dan berlari ke tepi pantai, manakala bot berkenaan memecut laju menuju ke tengah laut.

"Bagaimanapun kesemua 14 PATI itu yang merupakan warga Indonesia terdiri daripada sembilan lelaki dan lima wanita berusia dari 24 hingga 49 tahun berjaya ditahan oleh anggota-anggota PGA yang telah berada di pesisir pantai.

"Mereka dibawa ke pejabat APMM Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 6(1)(c). Kesemua PATI ini turut disaring koronavirus (Covid -19) oleh petugas Kementerian Kesihatan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM.

“Berdasarkan siasatan awal, sindiket penyeludupan masuk keluar PATI ini didalangi sindiket warga tempatan dan warga asing yang sudah lama menetap di negara ini,” kata beliau lagi.

Artikel Berkaitan: