Ahli Bersatu Ayer Hitam sokong Tun M

Ahmad Mustafa (duduk depan) bersama ahli Bersatu Ayer Hitam yang menyokong Dr Mahathir dan mengecam keras pemecatannya serta beberapa ahli Majlis Tertinggi Bersatu di pekan Ayer Hitam, Batu Pahat hari ini.
Ahmad Mustafa (duduk depan) bersama ahli Bersatu Ayer Hitam yang menyokong Dr Mahathir dan mengecam keras pemecatannya serta beberapa ahli Majlis Tertinggi Bersatu di pekan Ayer Hitam, Batu Pahat hari ini.
A
A
A

BATU PAHAT - Sebahagian ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Ayer Hitam hari ini mengisytiharkan menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dan mengecam kepimpinan tertinggi Bersatu yang memecat bekas Perdana Menteri itu.

Menurut pengasas Bersatu Ayer Hitam, Ahmad Mustaffa Shah Balhtiar Shah, pihaknya menolak sekeras-kerasnya pemecatan Dr Mahathir berserta beberapa lagi Ahli Majlis Tertinggi parti berkenaan.

"Perkara tersebut tidak mengikut perlembagaan parti, justeru kami menolak dengan keras pemecatan tersebut.

"Kami menyokong sepenuhnya Dr Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu yang menang tanpa bertanding sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 28 Mei lalu, selain Dr Mahathir, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah dipecat keahlian daripada parti itu.

Ahmad Mustaffa berkata, pemecatan itu adalah tidak sah kerana surat yang dikeluarkan ditandatangan oleh Setiausaha Kerja Bersatu dan bukan daripada Presiden Parti sendiri.

Pada masa sama, beliau yang merupakan Ketua Armada Penaja Ayer Hitam kecewa dengan perkembangan dalaman Bersatu pada ketika ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Johor, Serudin Soud memuji tindakan berani Mustaffa yang tidak berdiam diri apabila melihat perkara tidak betul sedang berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai pemuda kita harus menunjukkan sikap mengangkat martabat kebenaran dan suara rakyat yang telah dirosakkan sesetengah pihak.

"Tindakan Mustaffa boleh dipuji dan ia sebagai pendirian serta suara akar umbi Bersatu yang berani menyatakan prinsip. Kami menyokong tindakan beraninya dalam menegakkan kebenaran," katanya.

Beliau berharap ramai lagi pemuda yang berani memberikan pandangan semata-mata untuk memperjuangkan kebenaran.