KFA guna sistem gred

A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) akan menggunakan sistem penggredan gaji untuk pemainnya sebagai alternatif baharu dalam menentukan jumlah gaji yang wajar dibayar berdasarkan kepada tahap kemampuan setiap pemain.

Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata sistem yang akan diwujudkan dalam masa terdekat itu juga boleh membantu pihak pengurusan untuk menilai dan mengenal pasti tahap prestasi seseorang pemain dalam pasukan Lang Merah.

"Kita (KFA) hendak letakkan gred gaji, contohnya berapa jumlah gaji yang patut diberikan kepada pemain yang bermain untuk Piala Presiden, Piala Malaysia, mewakili Malaysia atau Asia. Apabila gred gaji itu dibuat mengikut peringkat, baru kita boleh tahu tahap kemampuan pemain itu.

"Dari situ juga, kita boleh letak berapa jumlah yang layak diberikan kepada pemain itu dan selepas ini tiada lagi isu pemain yang sewenang-wenangnya meletakkan harga tinggi yang tidak sepadan dengan tahap kemampuannya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, buat masa ini sistem penggredan gaji itu hanya akan dilaksanakan KFA dan cadangan tersebut juga sebelum ini pernah dibincangkan dengan negeri lain yang mana ada pengurusan pasukan dilihat bersetuju dengan kaedah itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengenai kemelut tunggakan gaji pasukan bertanding di Liga Malaysia (Liga M) yang mencecah tahap paling kronik.

Stuart sebelum ini dilaporkan berkata bahawa FAM telah menerima 262 kes berhubung tunggakan gaji yang melibatkan antara lapan hingga 10 pasukan yang beraksi pada saingan liga tahun ini sekali gus meletakkan Malaysia selaku ‘juara dalam pertandingan hutang gaji pemain’ benua Asia.

Sementara itu, Mohd Asmirul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Keusahawanan negeri berkata tahap kemampuan kewangan KFA juga diambil kira sebelum mengikat kontrak dengan seseorang pemain bagi mengelakkan berlakunya isu tunggakan gaji.

"Kita tidak mahu kalau gaji mahal, tak mampu bayar sampai berhutang. Lebih baik bayar gaji sederhana tapi kita mampu bayar dan lebihan itu kita akan fokuskan kepada kebajikan pemain antaranya dari aspek rumah, kenderaan dan persekolahan anak-anak mereka.

"Kita juga tidak mampu bayar terlalu tinggi dan melebihi had kepada pemain import dan sebab itu memutuskan tidak lagi menggunakan khidmat Liridon Krasniqi kerana kos yang terlalu tinggi jika mahu mendapatkan khidmatnya, baik kita jimatkan kos untuk aspek lain," katanya. - Bernama