Lelaki mengamuk, pukul sepupu buat bising

Noorzainy Mohd Noor
Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang lelaki ditahan selepas mengamuk dengan mendakwa sepupunya membuat bising lalu memukul mangsa menggunakan paip plastik (PVC) dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Permatang Kerai Besar, Sungai Dua di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek berusia 24 tahun itu ditahan di rumahnya pada 6.30 petang semalam.

"Suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan narkotik. Ujian saringan air kencingnya juga positif dadah jenis syabu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Noorzainy berkata, dalam kejadian pada jam 3 pagi, Sabtu lalu, suspek mengamuk setelah mendakwa mangsa yang memang tinggal bersebelahan rumahnya membuat bising.

Akibatnya mangsa berusia 26 tahun mengalami luka dan lebam di pinggang serta paha kiri kerana dipukul suspek dengan paip plastik.

"Siasatan mendapati, rumah mangsa dan suspek bersebelahan yang berjarak dua meter sahaja. Kedua-dua rumah menggunakan alamat yang sama dan merupakan rumah sebuah persendirian. Semasa kejadian, mangsa sedang membantu seorang lagi sepupu perempuan mengalihkan kenderaannya.

"Suspek secara tiba-tiba meluru ke arah mangsa lalu memarahinya kerana membuat bising. Dia terus memukul belakang badan dan paha kiri mangsa menggunakan paip plastik. Mangsa telah menolak suspek beberapa kali untuk mempertahankan diri. Selepas memukul mangsa, suspek masuk semula ke dalam rumahnya dan terus tidur," katanya.

Noorzainy berkata, mangsa kemudiannya membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan ibu bapa, ibu saudara serta neneknya yang tinggal bersama suspek.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan dan suspek direman empat hari.