X

Kindly register in order to view this article
!

Penganggur dituduh bunuh kekasih

Tertuduh, I Magendran (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tapah hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita dipercayai kekasihnya.
A
A

TAPAH - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tapah hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita dipercayai kekasihnya yang mayatnya ditemui dalam keadaan separuh bogel dan berulat di sebuah ladang kelapa sawit pada bulan lalu.

Tertuduh, I Magendran, 40, mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh beralamat dari Batu Caves, Selangor telah membunuh Siaw Kannagi, 47, di dalam ladang kelapa sawit di Kilometer 72 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Bidor dalam daerah Batang Padang antara jam 7 pagi hingga 12 tengah hari pada 26 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azfar Mahmod manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 27 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, media melaporkan mayat seorang wanita dalam keadaan separuh bogel dan berulat ditemui dalam ladang kelapa sawit oleh orang awam kira-kira jam 1.45 petang pada 29 Jun lalu.

Mayat wanita terbabit ditemui dekat cerun belukar ladang iaitu kira-kira 200 meter dari jalan utama ladang terbabit dipercayai dibunuh.

Susulan itu, polis menahan dua lelaki termasuk tertuduh bagi membantu siasatan namun seorang daripada yang ditahan berusia 38 tahun telah dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat wanita separuh bogel ditemui berulat

Mayat berulat dikenal pasti, dua lelaki ditahan


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus