Penganggur hina polis didenda RM2,000

Seorang penganggur didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menghantar komunikasi jelik dan menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi akaun Facebook miliknya berkaitan koronavirus (Covid-19).
Seorang penganggur didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menghantar komunikasi jelik dan menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi akaun Facebook miliknya berkaitan koronavirus (Covid-19).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menghantar komunikasi jelik dan menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi akaun Facebook miliknya berkaitan koronavirus (Covid-19).

Hakim M M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohammad Shahrizal Md Shah Rudin, 30, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah secara sedar membuat dan memulakan satu hantaran yang menghina PDRM menggunakan akaun Facebook miliknya iaitu ‘Riz Mhmd’ dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Mahkamah turut memerintahkan OKS menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Mohammad Shahrizal dituduh melakukan perbuatan itu pada 8 malam, 28 April lepas mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.

Hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju di sini pada 12.45 tengah hari, 30 April lepas.

Edwin berkata, mahkamah mengambil kira kesalahan OKS yang membuat penghantaran komunikasi jelik terhadap pihak polis yang bertugas sebagai barisan hadapan semasa Covid-19.

“Saya mengambil kira struktur bahasa dan adab komunikasi yang telah dibuat tidak keterlaluan. Sungguhpun saya mendapati OKS tidak mempunyai apa-apa niat curang untuk meluahkan perasaannya melalui komunikasi yang dilakukan namun kamu tidak sepatutnya membuat perbandingan antara anggota polis yang bertugas sebagai barisan hadapan dengan orang-orang lain seumpamanya,” katanya.

Beliau berkata, perbandingan yang dilakukan sungguhpun dibuat dengan tujuan sindiran, namun ia memperlekehkan sumbangan dan jasa baik anggota polis yang berkhidmat dalam menangani Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Penghantaran komunikasi jelik oleh OKS tidak kena pada tempat dan waktu terutama semasa anggota polis yang bertugas sebagai barisan hadapan. Mahkamah berharap OKS mengambil iktibar terhadap hukuman ini,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Annur Atiqah Abd Hadi manakala OKS tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, pengadu iaitu Inspektor Ahmadin Mohd Salleh yang sedang berada di pejabat JSJK Bukit Aman telah terlihat tangkap skrin (screenshot) yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Twitter bertarikh 29 April lepas dan pemilik akaun itu adalah OKS. - Bernama