Kerajaan terima 31,454 permohonan kewarganegaraan

Hamzah Zainudin - Foto Bernama
Hamzah Zainudin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menerima 31,454 permohonan kewarganegaraan bagi tempoh dari 2015 hingga 30 Jun 2020 yang dikemukakan melalui Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 28,211 permohonan sedang diproses dengan 9,388 permohonan didaftarkan di Sabah.

Bagi permohonan di Sabah adalah termasuk membabitkan anak tanpa kad pengenalan.

Menurut beliau, kementerian sedang meneliti secara terperinci mengenai perkara tersebut.

“Ini masalah yang besar di Sabah, antara Persekutuan dan Sabah,” katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) mengenai jumlah permohonan kewarganegaraan yang tertunggak sejak 2015 termasuk di Sabah.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) meminta kerajaan menyelesaikan permasalahan tersebut dengan menunjukkan sifat perikemanusiaan.

“Kita perlu ada penyelesaian kerana anak-anak peringkat awal enam, tujuh tahun ditinggalkan ibu bapa. Mereka membesar kerana tiada penyelesaian, tidak bersekolah, tiada keterangan. Kita perlu ada sifat perikemanusiaan. Kalau kita nak hantar balik, ke negara mana nak dihantar. Di Filipina pun mereka tidak tahu kampung.

Artikel Berkaitan:

“Saya harap ada penyelesaian untuk dua perkara. Satu yang dewasa dan satu yang tanpa kad pengenalan, tiada keluarga dan berkeliaran di bandar,” katanya.