Malaysia-Singapura laksana RGL, PCA mulai 10 Ogos

RGL membolehkan perjalanan merentas sempadan untuk tujuan perniagaan dan rasmi antara Malaysia dan Singapura, manakala PCA pula membenarkan rakyat Malaysia dan Singapura masuk bekerja di kedua-dua negara.
RGL membolehkan perjalanan merentas sempadan untuk tujuan perniagaan dan rasmi antara Malaysia dan Singapura, manakala PCA pula membenarkan rakyat Malaysia dan Singapura masuk bekerja di kedua-dua negara.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia dan Singapura telah mencapai persetujuan bersama untuk melaksanakan dua kategori Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA) antara kedua-dua negara itu bermula 10 Ogos ini.

Dalam satu kenyataan bersama oleh Menteri Luar, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussien dan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan hari ini memaklumkan pelaksanaan itu dibuat bagi memenuhi keperluan pelbagai kumpulan pelancong rentas sempadan antara kedua-dua negara.

"RGL akan membolehkan perjalanan merentas sempadan untuk tujuan perniagaan dan rasmi antara Malaysia dan Singapura.

"Pelancong yang memenuhi syarat bagaimanapun perlu mematuhi peraturan langkah pencegahan dan protokol kesihatan awam koronavirus (Covid-19) yang dipersetujui oleh kedua-dua negara termasuk menjalani ujian Polymerase Chain Reaction (PCR)," katanya.

Menurutnya, pelancong juga perlu menyerahkan jadual perjalanan terkawal mereka kepada pihak berkuasa negara dilawati dan mematuhinya sepanjang tempoh lawatan dibuat.

Menerusi kenyataan bersama itu juga, Hishammuddin dan Vivian memberitahu, PCA pula membenarkan rakyat Malaysia dan Singapura yang juga pemegang pas imigresen jangka panjang untuk tujuan perniagaan dan bekerja di negara lain untuk masuk bekerja di negara berkenaan.

"Namun selepas sekurang-kurangnya tiga bulan bekerja di negara terlibat, mereka perlu pulang ke negara masing-masing bagi tujuan cuti pendek dan kembali semula ke negara mereka bekerja untuk tempoh tiga bulan berturut.

"Bagi pelancong kategori PCA ini mereka juga harus mematuhi pencegahan Covid-19 termasuk langkah-langkah kesihatan awam yang dipersetujui bersama oleh Malaysia-Singapura," katanya yang turut memberitahu kedua-dua negara kini sedang berunding lanjut bagi menyiapkan prosedur operasi standard (SOP) untuk pelaksanaan inisiatif tersebut pada tarikh ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan bersama itu menyebut, kerajaan Malaysia dan Singapura akan mengeluarkan protokol kesihatan keperluan termasuk proses aplikasi terlibat untuk urusan keluar masuk ke kedua-dua negara berkenaan dalam tempoh 10 hari sebelum pelaksanaan RGL dan PCA bagi memudahkan serta memastikan kelancaran urusan merentas sempadan.

"Malaysia dan Singapura juga bersetuju untuk membangunkan skim lain yang sesuai termasuk pergerakan individu dari kedua-dua negara yang merentas sempadan dengan berulang alik setiap hari atas urusan kerja di samping mengambil kira protokol kesihatan serta sumber perubatan yang ada di Malaysia dan Singapura untuk menjamin keselamatan kedua-dua belah pihak.

"Ini juga akan membantu pemulihan ekonomi antarabangsa serta interaksi kedua-dua negara melalui rentas sempadan," katanya.