X

Kindly register in order to view this article
!

Pengarah syarikat didakwa salahguna harta RM96,780

A
A

BUTTERWORTH - Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, hari ini terhadap empat pertuduhan menyalahgunakan harta dan wang milik sebuah syarikat berjumlah RM96,780 antara Disember 2014 hingga Mei 2015.

Tertuduh, Kamaruzzaman Kamaludeen, 47 membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim, Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh sebagai Pengarah Syarikat Northern Petrochem Sdn Bhd didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta dan wang berjumlah RM5,600 kepunyaan Syarikat Natureceuticals Sdn Bhd di Bank RHB Berhad di Jalan Chain Ferry, Taman Inderawasih, Perai, Seberang Perai Tengah (SPT) dari 5 Disember 2014 hingga 11 Mei 2015.

Sementara bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta, penggunaan wang tunai berjumlah RM920 milik syarikat sama di Ambank (M) di Pusat Bandar Seberang Jaya, SPT pada 29 Disember 2014.

Untuk pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta, penggunaan wang tunai berjumlah RM8,800 milik syarikat tersebut di Malayan Banking Berhad, Alma antara 15 Disember 2014 hingga 6 Mac 2015.

Untuk pertuduhan keempat, Kamaruzzaman didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta, penggunaan wang tunai berjumlah RM81,460 milik Syarikat Natureceuticals Sdn Bhd di Public Bank Berhad, Jelutong antara 8 Disember 2014 hingga 27 Mei 2015.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu ketika memegang jawatan sebagai pegawai kewangan di syarikat tersebut.

Keempat-empat kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azlan Basri dan S Selvaranjini yang menawarkan wang jaminan RM50,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jumlah wang jaminan berikutan mempunyai masalah kesihatan selain perlu menanggung keluarganya.

Ahmad Azhari membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 untuk keempat-empat pertuduhan serta pasport perlu diserahkan kepada mahkamah selain tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Sebutan kes pada 27 Ogos depan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf