X

Kindly register in order to view this article
!

Normal baharu persekolahan jaminan keselamatan murid

Pembukaan semula sekolah dijangka berjalan lancar berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
A
A

KUALA LUMPUR - Setelah hampir empat bulan melaksanakan Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam talian di rumah akhirnya semua pelajar dan murid akan kembali ke sekolah pada 15 dan 22 Julai ini.

Pastinya bukan sahaja mereka berasa gembira bercampur khuatir, guru dan ibu bapa juga mungkin dibayangi perasaan yang serupa.

Namun dengan keadaan wabak koronavirus (Covid-19) yang semakin terkawal, pembukaan sekolah ini diyakini akan berjalan lancar berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kalangan guru sudah tentunya tidak sabar untuk berjumpa anak didik mereka selepas 'bercuti' sekian lama apabila sekolah diarahkan tutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat pandemik Covid-19.

Usaha guru yang tidak jemu-jemu menyampaikan ilmu ketika berdepan dengan pelbagai kekangan sepanjang tempoh tersebut bagaikan 'wira yang tidak didendang'. Ada yang sehingga sanggup menghantar sendiri bahan tugasan kepada pelajar yang tidak dapat mengikuti kelas dalam talian sepanjang tempoh PKP.

Bagi golongan pelajar dan murid pula, perasaan keterujaan itu kian terasa apabila mereka dapat bertemu kembali secara bersemuka dengan rakan-rakan sekolah setelah hampir empat bulan 'terperuk' di rumah dan menjalani sesi pembelajaran secara dalam talian.

Bimbang lepaskan anak ke sekolah

Sekiranya ada ibu bapa yang berasa gelisah penyakit Covid-19 masih belum reda sepenuhnya, kerisauan mereka hanyalah memikirkan kesejahteraan anak-anak mereka terutama anak di sekolah rendah yang pastinya terdedah dengan ramai orang ketika berada di sekolah nanti.

Apatah tidaknya, selama ini anak-anak mereka diawasi 24 jam sama ada di luar ataupun di dalam rumah, sering diingatkan untuk mengamalkan kebersihan diri seperti memakai pelitup muka sebelum keluar dari rumah, sentiasa basuh tangan serta elakkan kawasan sesak.

Bagi Sazlinda Osman, 45, sepanjang PKP, beliau sudah melatih anak-anaknya yang berusia 9 dan 10 tahun mengamalkan kebersihan diri setiap hari selain mengawasi mereka dalam sesi pembelajaran dalam talian bersama guru menerusi aplikasi 'Zoom'.

"Apabila kembali ke sekolah, biasalah jumpa kawan-kawan mesti 'excited', jadi sukar mereka nak pastikan penjarakan sosial kerana guru-guru tidak mungkin dapat mengawal begitu ramai anak murid mereka di sekolah.

"Apa yang dibuat oleh anak-anak, ibu bapa tidak tahu. Adakah mereka mengamalkan pembersihan kendiri di sekolah seperti mana yang telah dilatih di rumah? Itu yang kami risaukan," katanya kepada Bernama.

Seorang lagi ibu, Hayley Lee, 40, berkata, pihak sekolah perlu sentiasa memantau supaya semua murid mematuhi SOP ketat yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

"Jika di rumah, kami tahu setiap gerak-geri anak-anak di rumah ataupun dengan siapa mereka bergaul kerana kami sentiasa bersama dengan mereka.

"Ada pesakit COovid-19 ini tidak bergejala. Malang tidak berbau, lain ibu bapa lain cara mendidik anak-anak mereka. Ada sesetengah murid tidak tahu etika batuk dan bersin. Itu yang kita risau. Bukan sahaja kita risau Covid-19, batuk dan selesema pun mudah berjangkit," katanya.

Persediaan rapi

Timbalan Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Phooi Yoong, Teluk Intan Perak, Leow Wooi Hian memberitahu Bernama, beliau yakin semua sekolah sudah pun membuat persediaan rapi untuk pembukaan sesi persekolahan yang akan bermula pada 15 Julai dan 22 Julai ini.

Beliau berkata, ibu bapa boleh datang ke sekolah dengan anak mereka bagi meninjau bagaimana guru mengendalikan murid mengikut SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Mereka boleh memainkan peranan sebagai ‘mata dan telinga’ kepada guru-guru jika mereka tidak yakin terhadap SOP di sekolah jadi tanggungjawab guru tidaklah berat selain mengajar murid-murid,” katanya menerusi panggilan video Whatsapp.

Sementara itu, AJKnya, Tiew Lian Ching berkata, setakat ini, murid-murid prasekolah yang sudah kembali ke tadika pada 1 Julai lalu dilihat dapat mengikut SOP yang ditetapkan.

“Jika murid-murid prasekolah yang berusia 6 tahun ke bawah boleh mengikuti arahan guru-guru di tadika, murid-murid sekolah rendah pun boleh ikut arahan kerana guru-guru akan sentiasa mengingatkan mereka untuk menjaga kebersihan diri selain mengamalkan jarak sosial,” katanya.

Kerjasama ibu bapa, guru

Komuniti, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan alumni sekolah boleh memainkan peranan dalam membantu pentadbir sekolah melaksanakan garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah ketika menerima kehadiran murid-murid di sekolah.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional, Profesor Madya Dr Mohd Ali Hassan dalam temu bual dengan sebuah stesen televisyen tempatan menyarankan ibu bapa merekodkan suhu anak-anak mereka sebelum ke sekolah bagi memastikan mereka tidak dihalang jika suhu melebihi 37.5 darjah celsius.

Selain itu, beliau juga mencadangkan kepada ibu bapa dan alumni bagi membantu pihak sekolah dalam membuat tanda penjarakkan sosial dan mengawal pergerakan murid semasa datang, rehat dan balik, berdasarkan keperluan sekolah, seperti mana yang dilakukan oleh 'frontliners' seperti polis dan tentera sepanjang PKP.

Oleh itu, sekiranya ibu bapa sendiri masih lagi risau terhadap anak-anaknya yang tidak boleh mengikuti amalan pembersihan dan keselamatan seperti mana dipratikkan di rumah, apa kata mereka tampil sebagai sukarelawan bagi membantu meringankan beban guru di sekolah.

Atas hikmah daripada PKP dan pandemik Covid-19, pengorbanan ibu bapa dilihat sangat besar, apabila mereka menjadi 'guru' kepada anak-anak mereka di rumah sepanjang tempoh PKP sebelum bermulanya sesi persekolahan.

Ibu bapa sudah tentunya mengambil berat saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah untuk mendidik anak mengenai amalan normal baharu bermula dari rumah mereka sendiri.

Kini, sudah tiba masanya tanggungjawab itu diserahkan kepada guru di sekolah dan sudah pasti mereka akan memastikan kebersihan dan keselamatan anak-anak terjamin.

Garis panduan ketat di sekolah

Setiap permasalahan pasti ada jalan penyelesaiannya. Sudah pastinya, sebelum kerajaan membenarkan sesi persekolahan dibuka semula, prosedur operasi standard (SOP) oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah dibincang dan dimuktamadkan.

Sesi persekolahan juga dibuka secara berperingkat, dengan keutamaan diberikan kepada pelajar Tingkatan 5 dan 6 yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada 24 Jun.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah pada 4 Jun lalu, dengan protokolnya merangkumi jarak sosial, kebersihan tangan, pemeriksaan kesihatan, pembersihan dan sanitasi, hebahan maklumat langkah kesihatan dan keselamatan, susun atur meja dan aplikasi MySejahtera.

Mereka dengan suhu badan yang melebihi 37.5 darjah Celsius atau bergejala, tidak akan dibenarkan memasuki kawasan sekolah manakala aktiviti di luar bilik darjah seperti sukan dan kokurikulum secara bersemuka tidak dilaksanakan sehingga suatu tarikh dimaklumkan nanti. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!