MFL belum benarkan aksi pemanas badan

Ab Ghani Hassan
Ab Ghani Hassan
A
A
A

KESEMUA pasukan masih belum mendapat ‘lampu hijau’ Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk mengadakan perlawanan persahabatan sebagai persediaan memulakan kembali saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, badan pentadbir liga domestik itu mahu setiap pasukan memberi tumpuan kepada sesi latihan Fasa 2 yang secara rasmi bermula esok.

“Buat masa ini, kita mahu pasukan fokus dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) latihan Fasa 2. Namun, kita akan mempertimbangkan membenarkan perlawanan persahabatan pada waktu sesuai.

“MFL berharap serta memohon supaya semua pemain dan pegawai pasukan mengekalkan disiplin serta komitmen tinggi dengan mematuhi garis panduan sepanjang tempoh Latihan Pasukan Fasa 2 seperti yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, pematuhan SOP itu penting dalam memastikan kelancaran perancangan MFL untuk menyambung semula saingan liga yang tertangguh sejak 16 Mac lalu akibat pandemik Covid-19.

Beliau turut memberitahu, Ahli Lembaga Pengarah MFL akan memutuskan tarikh rasmi Liga-M setelah menerima laporan penuh persiapan untuk penyambungan liga daripada Sekretariat MFL dalam tempoh terdekat.

“Banyak faktor perlu diambil kira untuk kita menyambung kembali Liga-M. Kita perlu memastikan semua pasukan memiliki cukup masa untuk membuat persiapan supaya kita dapat melihat saingan lebih kompetitif dan berkualiti apabila liga kembali bersambung.

“Kita juga mengambil kira kebimbangan pasukan mengenai risiko kecederaan pemain jika kita tergesa-gesa memulakan saingan liga ketika pemain belum bersedia di tahap fizikal terbaik,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ab Ghani juga meminta setiap pasukan membuat persiapan rapi bagi venue yang akan bakal digunakan terutamanya dari aspek kawalan keselamatan dan kesihatan seperti proses disinfeksi dan nyahcemar venue perlawanan.