‘Perikatan Nasional mungkin gagal bertahan’

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai sebuah kerajaan yang rapuh dan mungkin gagal untuk terus bertahan dalam sesi sidang Parlimen yang akan datang. -Foto Bernama
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai sebuah kerajaan yang rapuh dan mungkin gagal untuk terus bertahan dalam sesi sidang Parlimen yang akan datang. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai sebuah kerajaan yang rapuh dan mungkin gagal untuk terus bertahan dalam sesi sidang Parlimen yang akan datang.

Kemenangan dengan majoriti tipis cuma dua kerusi bagi usul pertukaran Speaker Dewan Rakyat yang dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan jumlah sokongan sebenar terhadap blok kerajaan ketika ini.

Penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, angka 111 sokongan ahli Parlimen yang menyokong pertukaran itu manakala 109 ahli Parlimen tidak bersetuju memberi gambaran bahawa PN sukar untuk bertahan.

“Dengan trend pengundian atau angka sebegini, pada pandangan saya kemungkinan tempoh kerajaan ini tak lama.

“Kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri juga ibarat telur di hujung tanduk kerana harus diingat dalam sidang Parlimen kali ini juga pembangkang akan kemukakan usul undi kepada beliau,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Semalam, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu sempena persidangan Parlimen yang mula bersidang.

Usul dan pertukaran Speaker itu juga mencetuskan kekecohan hingga Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada hari itu pertama terpaksa ditangguhkan lebih awal.

Dalam pengundian untuk melantik Speaker baharu, seramai 111 ahli Parlimen bersetuju, manakala 109 undi menolak dan seorang tidak hadir.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Atory berkata, jika dibuat perbandingan dengan jumlah keseluruhan 222 ahli Parlimen, PN hanya mendapat sokongan separuh daripada mereka.

Menurutnya, Muhyiddin juga perlu menjaga hati dan kepentingan kesemua ahli Parlimen yang menyokong kerajaan supaya tiada yang melompat parti.

“Bagaimanapun, saya yakin Muhyiddin akan menang dalam undi tidak percaya itu tapi senarionya sama seperti undi pertukaran Speaker iaitu menang tipis.Bagi sesetengah negara, mereka mahu sokongan majoriti dalam Parlimen sebanyak dua per tiga kerana mahukan kestabilan,” katanya.

Jelasnya, sokongan tipis terhadap kerajaan menyebabkan berlaku kekecohan dalam sidang Dewan Rakyat.

“Pada sidang dewan tadi (semalam), saya lihat hujah yang dikemukakan kerajaan PN banyak yang munasabah dan rasional berbanding dengan PH yang agak emosional,” katanya.

Tambahnya, Muhyiddin mungkin kekal mentadbir negara sekiranya bertahan dengan tekanan daripada pembangkang ketika sidang Parlimen berlangsung.

Senada dengan Dr Ahmad Atory, penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib menganggap kerajaan PN ibarat kaca yang boleh pecah pada bila-bila masa.

Menurutnya, seandainya keadaan rapuh itu tidak segera diperbaiki ia akan mengganggu pembangunan dan proses pemulihan wabak koronavirus (Covid-19) ketika ini.

“Bayangkan dalam keadaan rapuh sebegini, kalau dibentangkan Rang Undang-undang Perbekalan (bajet) atau Rang Undang-Undang Akta Covid-19 untuk dibahaskan atau diundi ahli Parlimen, jadi ia terganggu.

“Dalam keadaan sekarang, kita harapkan Dewan Rakyat walaupun tidak kukuh tetapi perlu stabil,” katanya.