X

Kindly register in order to view this article
!

Pemandu bas sekolah dijel, denda cabul OKU

Gambar hiasan
A
A

SANDAKAN - Seorang pemandu bas sekolah berusia 52 tahun dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah mencabul kehormatan seorang pelajar berkeperluan khas.

Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu ke atas Roslan Baki, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan Roslan menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan mengarahkan tertuduh dipenjara 10 bulan lagi jika gagal membayar denda.

Dalam penghakimannya, Awang Kerisnada berkata, tertuduh telah mengambil kesempatan terhadap mangsa yang merupakan orang kurang upaya (OKU) yang cacat pertuturan dan pendengaran.

“Tertuduh diberi kepercayaan oleh keluarga mangsa untuk membawanya pergi ke sekolah dan pulang dengan bas yang dikendalikan oleh tertuduh. Tertuduh menyalahgunakan amanah ini,” kata hakim itu.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara rayuan terhadap keputusan hari ini didengar di Mahkamah Tinggi, namun memerintahkan lelaki itu membayar denda RM10,000 atau penjara 10 bulan.

Pada 2018, Rosli mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun tanpa kerelaannya di dalam sebuah bas sekolah di hadapan sebuah sekolah menengah di sini, sekitar 2016 mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, di akhir kes pendakwaan pertuduhan terhadapnya dipinda kepada mencabul kehormatan mengikut Seksyen 354 kanun yang sama dan tertuduh turut mengaku tidak bersalah.

Seramai lapan saksi pendakwaan memberi keterangan dan empat saksi pembelaan termasuk tertuduh dipanggil membela diri dalam prosiding perbicaraan yang berlangsung antara Januari dan Mac lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mark Kenneth Netto manakala tertuduh diwakili peguam, Sharatha Lincon, Mohamed Zairi dan Douglas Lim. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus