Jangan terlalu kasihan pada penjenayah

Adalah tidak wajar masyarakat memandang OKT seperti penjenayah sedangkan mereka mungkin tidak melakukan jenayah. - Foto hiasan 123RF
Adalah tidak wajar masyarakat memandang OKT seperti penjenayah sedangkan mereka mungkin tidak melakukan jenayah. - Foto hiasan 123RF
A
A
A

TERINGAT satu masa dahulu, saya bertanya pada rakan: wajarkah kita berasa kasihan dengan seseorang yang dihadapkan ke mahkamah?

Dia menjawab, bergantung kepada jenayah yang dilakukan.

Saya keliru, kenapa ada sesetengah kes, perlu ada rasa belas ihsan dan sebilangannya pula perlu beranggapan mereka patut menerima hukuman atas jenayah yang dibuat.

Dia memberi contoh yang mudah difahami. Bayangkan jika seseorang itu dituduh melakukan jenayah sedangkan dia tidak melakukannya.

Ada juga benarnya kerana seseorang itu tidak bersalah sehingga dirinya dibuktikan bersalah oleh mahkamah pada akhir perbicaraan.

Terdapat kes suspek penjenayah didakwa namun akhirnya orang kena tuduh (OKT) dilepas dan dibebaskan selepas bukti dan fakta menyebelahi mereka.

Adalah tidak wajar masyarakat memandang OKT seperti penjenayah sedangkan mereka mungkin tidak melakukan jenayah.

Bagaimana pula dengan OKT yang mengaku bersalah dan disabitkan kesalahan namun menggunakan alasan ‘terpaksa’.

Artikel Berkaitan:

Ada satu contoh yang menarik untuk dikongsi membabitkan kes di Mahkamah Petaling Jaya pada tahun 2018 apabila seorang lelaki, Mat Juri, 24, dihukum penjara selama empat bulan atas tuduhan memiliki kipas, lapan kotak lampu LED dan sepokok krismas yang dicuri daripada majikannya.

Ketika ditanya Majistret Nur Shahirah Abd Salim sebab dia melakukan jenayah itu, Mat Juri berkata dia terpaksa melakukan jenayah selepas majikannya tidak membayar gaji menyebabkan dia tidak mempunyai wang untuk membeli susu anak.

Satu lagi kes yang berlaku di Ayer Keroh, Melaka pada tahun 2017 apabila seorang bapa disabitkan kesalahan atas tuduhan mencuri barang mainan untuk hadiah hari lahir anaknya.

Majistret Mohd Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM1,600 ke atas Chan Kok Kiat, 36, selepas tertuduh mengaku bersalah.

Kedua-dua OKT itu mempunyai niat yang baik iaitu mendapatkan wang untuk membeli susu dan hadiah untuk anak namun ia tidak menghalalkan jenayah yang dilakukan. Mencuri walaupun sekecil-kecil nilai adalah perbuatan yang salah apatah lagi menjadi tauladan yang buruk kepada anak-anak.

Pilihan

Pelbagai pilihan terbuka kepada semua namun kita perlu berusaha untuk mencapai hajat yang kita kehendaki. Usah jadikan jenayah sebagai langkah mudah sehingga kita sanggup mencabuli undang-undang.

Dalam kes lain, saya sempat mengikuti pendakwaan bagi kes penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong pada 3 Julai lalu.

Sahril Zainudin, 26, selaku orang kena saman (OKS) menggigil dan hampir rebah di kandang tertuduh selepas didenda RM27,000 atau sembilan bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan membuat hantaran jelik menggunakan profil Facebook (FB) palsu terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tiga bulan lalu.

Dia dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di mahkamah.

OKS ini bukan sahaja sanggup menghina Agong malah berniat untuk menganiaya seorang wanita iaitu dengan mewujudkan akaun palsu menggunakan nama pemilik asal FB Puan Linda (Fatin Aslinda Abu Talib, 33) menyebabkan dia menerima ugutan culik dan rogol oleh pelayar FB yang tidak dikenali.

Pada tarikh sama, seakan-akan tidak serik melakukan penghinaan terhadap Agong dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah buat kali kedua, seorang lelaki, Shahril Mohd Sarif, 37, dihukum penjara 10 bulan.

Sebilangan individu yang berada di kamar mahkamah turut meluahkan rasa kasihan terhadap mereka namun selepas mendengar kenyataan penghinaan yang dibuat, rasa kasihan itu mula hilang.

Tidak sangka, pemuda yang kelihatan ‘baik’ itu sanggup mengeluarkan kata-kata jelik terhadap orang lain, apatah lagi terhadap Raja.

Dalam hal ini, wajarkah kita berasa kasihan terhadap mereka sedangkan mereka tidak berasa ihsan terhadap diri sendiri sehingga sanggup melakukan jenayah?

* Noor Azlida Alimin ialah wartawan Meja Mahkamah dan Jenayah Sinar Harian