Kemenangan pahit bagi PAP

Parti Pekerja Singapura berjaya menambah jumlah kerusi Parlimen mereka selain mengurangkan undi popular Parti Tindakan Rakyat dalam pilihan raya Singapura baru-baru ini.
Parti Pekerja Singapura berjaya menambah jumlah kerusi Parlimen mereka selain mengurangkan undi popular Parti Tindakan Rakyat dalam pilihan raya Singapura baru-baru ini.
A
A
A

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Singapura 2020 (GE2020) yang diadakan Jumaat lalu menyaksikan Parti Tindakan Rakyat (PAP) kekal menerajui penggal pemerintahan Kota Singa itu untuk kali ke-15 berturut-turut dengan meraih undi popular 61.24 peratus.

PAP yang memerintah sejak tahun 1965 memenangi 83 daripada 93 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam pilihan raya umum ke-18 yang disertai 192 calon daripada 11 parti politik itu.

Namun, di sebalik kejayaan memperoleh mandat jelas daripada pengundi, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang juga Setiausaha Agung PAP mengakui peratusan undi popular parti itu mengalami penurunan pada pemilihan kali ini yang merupakan pilihan raya yang julung kali diadakan ketika pandemik Covid-19.

Bermula pada tahun 2006, yang menyaksikan Hsien Loong menerajui PAP buat pertama kali, parti pemerintah terbabit meraih 66.6 peratus undi popular, ia kemudian merosot kepada 60.1 peratus pada tahun 2011 sebelum meningkat semula kepada 69.9 peratus pada pilihan raya umum tahun 2015.

Dalam pada itu, parti pembangkang utama, Parti Pekerja (WP) memperoleh 10 kerusi dengan mengekalkan kemenangan di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Aljunied dan di Kawasan Undi Perseorangan (SRC) Hougang serta di GRC Sengkang.

Kemenangan di Sengkang sekali gus memperlihatkan sokongan pengundi muda beralih kepada parti pembangkang itu.

Bagi Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang dianggotai adik Hsien Long, Lee Hsien Yang dan Parti Demokratik Singapura (SDP), kegagalan mereka memenangi sebarang kerusi tidak mematahkan semangat dan masing-masing berazam untuk kembali memberi saingan pada pilihan raya akan datang.

Kerancakan GE2020 Singapura itu bagaimanapun diwarnai beberapa insiden antaranya dalam masa kurang satu jam sebelum pemilihan ditamatkan Jabatan Pilihan Raya (ELD) mengumumkan waktu mengundi dilanjutkan selama dua jam dari jam 8 malam kepada 10 malam berikutan prosedur pencegahan Covid-19 mengakibatkan kelewatan di beberapa pusat pengundian sekali gus menyebabkan pengundi terpaksa beratur lebih lama berbanding biasa.

Artikel Berkaitan:

Menurut Prof Madya Dr Abdillah Noh daripada Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), tiada sebarang elemen kejutan dalam keputusan GE2020 di Singapura.

“Ramai yang menjangka kemenangan PAP, namun persoalannya sebelum ini adakah PAP akan mendapat peratusan undi popular yang lebih tinggi atau sebaliknya.

“Peratusan undi popular yang menjunam menunjukkan terdapat beberapa isu yang kurang disenangi rakyat Singapura.

“Saya sendiri menjangkakan kawasan GRC Sengkang akan dimenangi parti pembangkang (WP) berikutan mereka mempunyai calon yang lebih baik manakala GRC Aljunied serta SRC Hougang akan kekal milik WP,” kata Abdillah kepada Sinar Harian semalam.

Pengundi mudaBeliau berkata, sudah menjadi trend sejak tahun 2011 parti pembangkang memiliki calon-calon hebat untuk bertanding dalam pilihan raya.

Hsein Loong
Hsein Loong

“Jamus Lim, misalnya, yang bertanding di GRC Sengkang merupakan calon yang berkelayakan dan kebanyakan pengundi muda di kawasan terbabit memilih untuk berpihak kepada pembangkang.

“Pengundi muda mahukan pilihan pendapat yang pelbagai dan tidak mahu PAP memonopoli idea. Mereka juga mahukan pemimpin yang berkualiti dan berkelayakan,” katanya.

Menurut Abdillah lagi, parti WP semakin mengukuhkan kedudukan sebagai pembangkang utama berikutan kemampuan mengemukakan calon dengan kredibiliti. Parti SDP yang telah lama wujud juga akan bertahan manakala PSP yang disokong adik Perdana Menteri Singapura itu masih tercari-cari rentak.

Ditanya sama ada cara kerajaan Singapura menangani pandemik Covid-19 menjadi antara isu kritikal yang dibahaskan pembangkang semasa kempen pilihan raya, Abdillah berkata, isu tersebut tidak ditimbulkan.

“Kita jangkakan ia menjadi isu namun dalam tempoh sembilan hari berkempen, isu tersebut tidak dibangkitkan pembangkang sebaliknya isu yang dibahaskan adalah berkaitan gaji minimum, peningkatan dalam ketidaksamaan dalam kalangan rakyat Singapura, kehilangan pekerjaan dalam kalangan penduduk berusia 40-50 tahun yang berkelayakan serta pekerjaan banyak menjadi milik warga asing.

“Singapura mempunyai antara sistem pendidikan terbaik di dunia, namun mengapa penduduk tempatan sukar mendapat pekerjaan dan mengapa warga asing lebih mendapat pekerjaan berbanding graduan tempatan.

“Pengundi muda amat bimbang tentang perkara ini dan satu lagi isu yang dibahaskan adalah jaminan sosial, sama ada warga emas mempunyai wang yang cukup selepas bersara,” kata Abdillah sambil menegaskan terdapat warga emas berusia 70 tahun yang masih terpaksa bekerja untuk meneruskan hidup.

Dalam pada itu, Abdillah berkata, sebelum ini Hsien Loong bercadang untuk menyerahkan kepimpinan kepada timbalannya, Heng Swee Keat pada pertengahan penggal, namun kini terdapat ura-ura mengatakan akan berlaku penangguhan berikutan keputusan pilihan raya terkini.

“Kita mungkin akan melihat Hsien Loong memerintah untuk tempoh lima tahun lagi sebelum menyerahkan kepimpinan. PAP mahu memastikan kepimpinan yang kuat sebelum berlaku peralihan kuasa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM), Dr Muhammad Asri Mohd Ali berkata, kemerosotan undi popular PAP menandakan pengundi telah bersedia untuk ‘pilihan baharu’ seperti Parti Pekerja (WP).

“Walaupun masih menang, PAP perlu buat banyak perubahan untuk terus kekal relevan,” katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya apa yang boleh dipelajari parti-parti politik di Malaysia daripada pilihan raya umum Singapura kali ini, beliau yang juga Felo Penyelidik Majlis Profesor Negara (MPN) berkata, parti dominan seperti UMNO, Pas, PKR dan DAP perlu sedar pengundi mahu sesuatu yang baharu dan berguna untuk mereka.

“Untuk kekal relevan, calon-calon yang berkaliber, profesional dan muda perlu diketengahkan. Rakyat tahu polisi parti mana yang boleh membantu mereka, jadi ketengahkan isu-isu yang membina kepada masyarakat, bukan isu-isu mengenai jawatan dan personaliti sahaja,” katanya.