Maqasid syariah bukan lima sahaja!

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

TOKOH Maal Hijrah dan juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar dalam video YouTube bertajuk Salah Faham Dalam Maqasid Shariah memberi satu kenyataan berani, tegas dan ilmiah.

Antara kenyataan tersebut adalah: “Maqasid tidak perlu terhad kepada lima sahaja. Kalau syariah terhad kepada lima sahaja, betapa naifnya agama kita.”

Kenyataan Daud tepat sekali. Ulama dahulu berijtihad dan bersusah payah untuk mengeluarkan maqasid daripada dalil-dalil al-Quran dan hadis.

Ada yang kata lima, ada yang enam, ada yang 15 dan pelbagai pendapat.

Bagaimanapun, budaya naif dalam memahami maqasid syariah berpunca daripada sebahagian profesor kita yang malas, bahkan tak mampu, membaca kitab-kitab ilmiah klasik yang ditulis dalam bahasa Arab tinggi dan rasionaliti high class! Malangnya para profesor naif itu ada yang terlibat dalam pengajian Islam atau pendidikan Islamik.

Kritikan Daud memang tepat sekali tentang kenaifan perspektif yang hanya copy paste lima maqasid tanpa memikir secara mendalam tentang sejauh manakah sesuai lagi pada zaman moden kita ini kalau maqasid disempitkan kepada lima sahaja.

Malangnya terdapat profesor kita yang puas hati sekadar copy paste lima maqasid yang mereka belajar pada zaman persekolahan dulu!

Saya berpendapat bahawa kita perlu memperkenalkan maqasid keenam iaitu maqasid menjaga ilmu (hifz al-'ilm).

Artikel Berkaitan:

Penulis sedar bahawa maqasid adalah kata jamak seperti perkataan ‘ulama’ tetapi bahasa Melayu biasanya akan guna perkataan jamak untuk merujuk kepada satu individu. Penulis sedang menulis dalam bahasa Melayu, maka perkataan maqasid digunakan di sini.

Maqasid keenam iaitu menjaga ilmu berbeza dengan menjaga akal.

Menjaga akal merujuk kepada penjagaan sebuah organ manusia yang bernama ‘akal’ tetapi ilmu yang dimaksudkan di sini merujuk kepada suatu khazanah atau warisan.

Wacana menjaga akal lebih fokus pada pendidikan akal dan penghindaran akal daripada segala jenis perkara yang akan merosakkan akal.

Ilmu

Menjaga ilmu sebagai suatu khazanah manusia dan umat merujuk kepada bagaimana mencari, mencungkil, menyimpan, memelihara, mengagihkan dan menyebarkan ilmu daripada satu generasi kepada generasi yang lain.

Budaya klasik menjaga ilmu itu dikenali sebagai Taalib Al-'Ilm yang bermaksud ‘mencari, menuntut ilmu’. Ulama mengembara jauh demi untuk mendapatkan riwayat satu hadis sahaja!

Baitul Hikmah ditubuhkan untuk mengagihkan ilmu-ilmu dari Yunani, India, Parsi dan China ke Baghdad secara penterjemahan.

Baitul Hikmah bukan sekadar sebuah perpustakaan tetapi ia adalah pusat pengagihan ilmu dari dunia luar ke Baghdad, ibu kota Khilafah Abbasiyah.

Kelestarian (sustainability) pendidikan di negara kita hanya akan berjaya jika hifz al-'ilm dijadikan maqasid keenam.

Bahasa Melayu hanya mampu diperkasakan menjadi Bahasa Negara jika Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di bawah tajaan kerajaan dan kerjasama swasta dan universiti memperjuangkan penterjemahan kepada bahasa Melayu.

Penulis melihat laman web DBP sangat lemah. Contohnya, penulis mencari etimologi atau asal kata perkataan ‘Sejahtera’. Laman web DBP langsung tidak memberi etimologinya yang berasal daripada bahasa Sanskrit.

Perkataan sejahtera ialah kata kunci yang amat penting dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan tetapi penjelasan etimologi tiada langsung dalam laman web DBP!

Penulis dengan mudah dapat mencari etimologi setiap perkataan Cina melalui kamus-kamus swasta yang asas sahaja seperti yellowbridge.com.

Ringkasnya, janganlah dengan naifnya menyempitkan maqasid syariah kepada lima sahaja!

* Xifu Naser ialah Tokoh Pendakwah Perak