Agenda memperkasa institusi Parlimen

No Image Caption
A
A
A

SEMALAM, Dewan Rakyat memutuskan untuk mengosongkan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang sebelum ini diisi Tan Sri Mohammad Ariff Md Yusof. Sudah tentu banyak perbahasan dan perbincangan perihal mengapa usul untuk jawatan itu perlu dikosongkan dan keperluan untuk ia diluluskan.

Bagi saya sebagai ahli Parlimen, usul yang sudah diluluskan harus diterima oleh semua ahli Dewan Rakyat. Itulah proses dan keluhuran undang-undang yang kita perlu angkat dan hormat. Saya memilih untuk melihat usaha dan pencapaian bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam mengangkat institusi Parlimen.

Saya ingin menzahirkan penghargaan kepada institusi Parlimen yang dikepalai oleh Yang Dipertua dan Timbalan-Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat di atas kerja keras dan usaha mempertahankan dan mengangkat peranan Dewan Rakyat sebagai sebuah institusi berdaulat.

Sesungguhnya, iltizam seluruh ahli dewan dijaga dengan baik oleh Yang Dipertua dan diterjemahkan kepada reformasi sistem Parlimen.

Proses penggubalan undang-undang, semak dan imbang dalam dewan dan peranan ahli dewan menjadi sungguh signifikan bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang serius dan terkehadapan dalam agenda bernegara.

Buat kali pertama dalam sejarah negara, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau Public Account Committee (PAC) disandang wakil pembangkang. Ia memastikan PAC terus memainkan peranan semak imbang demi menjaga dana kepentingan awam.

Sejumlah 11 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ditubuhkan. Pengerusinya bercampur. Ada pihak kerajaan dan pihak pembangkang. Jawatankuasa Pilihan Khas itu telah mengadakan lebih 130 mesyuarat sepanjang tahun, secara tidak langsung menghebatkan penglibatan ahli-ahli Dewan.

Antaranya ialah Jawatankuasa Pilihan Khas untuk Mempertimbangkan Rang Undang-Undang, Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet, Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesaksamaan Gender.

Artikel Berkaitan:

Tarikh Parlimen bersidang bertambah sebanyak 30 peratus menunjukkan Parlimen semakin aktif dan proaktif.

Buat pertama kali, Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dibentangkan di Dewan Rakyat. Meskipun Suhakam ditubuhkan bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, sepanjang 19 tahun laporan mereka tidak pernah sekalipun dibentangkan dalam dewan yang mulia itu.

Ia bukti jelas Malaysia di bawah Pakatan Harapan (PH) menitikberatkan tahap hak asasi manusia di negara ini.

Parlimen di bawah PH sepatutnya mengusulkan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen bagi memastikan institusi itu menjadi sebuah badan bebas selaras dengan doktrin pengasingan kuasa. Saya harap kerajaan sekarang meneruskan pembentangan akta tersebut. Parlimen telah mengaktifkan semula diplomasi Parlimen. Ia mengangkat martabat Parlimen dan imej negara di persada antarabangsa.

Parlimen menubuhkan All Parties Parliamentary Groups (APPG). Ia badan tidak formal yang didaftarkan di bawah Parlimen Malaysia sebagai platform kepada semua ahlinya tidak kira Dewan Rakyat atau Senator daripada pelbagai parti politik untuk membincangkan dasar awam bersama dengan rakyat. Cadangan dikemukakan melalui APPG akan diangkat Parlimen Malaysia dan Jawatankuasa Pilihan Khas.

Kerjasama yang baik antara Yang Dipertua dan Timbalannya jelas kelihatan apabila tiada campur tangan politik sepanjang tempoh mereka menjaga martabat Parlimen.

Walaupun PH hanya diberi tempoh 22 bulan mentadbir Malaysia, ia tetap berjaya melakukan banyak perkara untuk mengangkat martabat Parlimen. Benar, ada banyak tambah baik yang perlu dilaksanakan seandainya PH masih lagi sebuah kerajaan. Namun, kerajaan berpindah tangan.

Saya percaya perubahan demi perubahan yang baik di dalam Dewan Rakyat adalah satu perkara yang harus dirai semua pihak. Ia benar-benar membuktikan komitmen dan iltizam politik adalah tunjang kepada sebuah reformasi dan tidak harus dijadikan alat melaga-lagakan mana-mana pihak.

Saya bersetuju bahawa setiap kerajaan pasti ada hala tuju dan matlamat berasingan daripada kerajaan lama. Perkara yang baik wajar dikekalkan.

Saya juga meletakkan sepenuh keyakinan dan kepercayaan kepada Parlimen Malaysia di bawah pimpinan baharu untuk terus memperkasa institusi mulia itu. Selamat bertugas!

* Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ialah Ahli Parlimen Muar