Penaja utama urus kewangan pasukan utama sahaja

Ahmad Muzakkir Hamid
Ahmad Muzakkir Hamid
A
A
A

SYARIKAT yang ingin menjadi penaja utama The Red Warriors (TRW) tidak perlu bimbang pada bayangan hutang lapuk Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kerana beban hutang itu ditanggung sepenuhnya badan induk bola sepak Kelantan berkenaan.

Itu jaminan diberikan Pengerusi Jawatankuasa Penajaan KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid sambil menegaskan tanggungjawab utama penaja adalah untuk mengurus kewangan pasukan utama sahaja.

“TRW adalah nama syarikat yang KAFA tubuhkan untuk mengurus pasukan utama Liga Premier.

“Nama syarikat ini Team Red Warriors Sdn Bhd, penaja utama akan berada dalam syarikat ini, penaja utama yang dimaksudkan adalah pemilik saham TRW, pembahagian saham kebiasanya ia lebih banyak dari dimiliki oleh KAFA atas persetujuan bersama," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pada pertengahan Mei lalu, penaja utama TRW, After Image Sdn Bhd menarik diri sebagai rakan kongsi rasmi Kelantan musim ini selepas Pengarah Urusan Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari melepaskan jawatannya.

Keputusan Wan Rakemi itu secara tidak langsung menyaksikan syarikat After Image Sdn Bhd selaku pemegang taruh terbesar dalam TRW menarik diri sebagai rakan kongsi rasmi Kelantan.

Jelasnya, penaja utama ini akan membayar segala hal berkaitan pasukan utama sahaja termasuk gaji pemain dan pegawai serta perbelanjaan semasa pasukan.

“Segala keuntungan jualan seperti jersi atau kutipan tiket akan diperolehi oleh penaja utama ini dengan pembahagian 70 peratus keuntungan kepada penaja utama, 30 peratus KAFA atau 80 peratus penaja utama dan 20 peratus KAFA ia juga atas persetujuan bersama.

Artikel Berkaitan:

“Penaja utama juga tidak akan dibebankan hutang lapuk, ia hanya fokus kepada perbelanjaan semasa sahaja,” jelasnya lagi.