Thailand bersedia kukuh perdagangan dua hala

Muhammad Sanusi (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Narong sebagai tanda kenang-kenangan.
Muhammad Sanusi (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Narong sebagai tanda kenang-kenangan.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Thailand akan meningkatkan kemudahan logistik dan infrastruktur di sempadan Malaysia dan Thailand dalam usaha mengukuhkan perdagangan dua hala.

Duta Besar Thailand ke Malaysia, Narong Sasitorn berkata, kedua-dua negara kini berusaha menyediakan infrastruktur terbaik untuk memudahkan urusan perdagangan di sempadan.

Menurutnya, Thailand sedang membina sebuah Lompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) baharu di Sadao yang bakal siap beberapa bulan lagi.

"Kompleks ini juga mempunyai peranan yang sama seperti Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam.

"Dengan kemudahan yang dinaik taraf antara kedua pintu sempadan, saya yakin kenderaan perdagangan tidak perlu beratur panjang untuk melepasi pemeriksaan di sempadan," katanya selepas kunjungan hormat Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Narong berkata, beliau turut mencadangkan kedua-dua pihak berkuasa di sempadan menyelaraskan peraturan bagi menjimatkan waktu pemeriksaan.

"Kita belum ada perbincangan mengenainya tetapi kita memerlukan mekanisme pemeriksaan secara berpusat, contohnya selepas kenderaan perdagangan diperiksa di Sadao maka ia boleh meneruskan perjalanan ke Bukit Kayu Hitam seterusnya ke Pulau Pinang.

"Begitu juga apabila kenderaan perdagangan sudah diperiksa di ICQS Bukit Kayu Hitam, ia boleh terus masuk ke Thailand tanpa pemeriksaan di tempat lain.

Artikel Berkaitan:

"Pegawai penguat kuasa kedua-dua negara akan ditempatkan di kedua-dua tempat, bagaimanapun kedua-dua negara perlu mempersetujui perkara ini terlebih dahulu," katanya.

Katanya, tahun lalu Thailand dan Malaysia mencatatkan nilai perdagangan sebanyak 24 billion dolar dan daripada jumlah itu sebanyak ASD10 billion adalah nilai perdagangan menerusi pintu sempadan Bukit Kayu Hitam dan Sadao, Thailand.

Sementara itu, Narong berkata, Thailand bersedia memberi kerjasama kepada Malaysia terutama Kedah dalam menangani isu pemerdagangan manusia yang berlaku di sempadan Malaysia dan Thailand.