X

Kindly register in order to view this article
!

KKM diminta senaraikan kit ujian pantas antibodi Covid-19

Senarai alatan ujian pantas antibodi yang diluluskan perlu diterbit memandangkan orang ramai berhak mengetahui keberkesanan alat berkenaan.
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mendesak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengarahkan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) menerbitkan senarai alatan ujian pantas antibodi yang diluluskan berserta maklumat khusus memandangkan orang ramai berhak mengetahui keberkesanan alat berkenaan.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr N Ganabaskaran berkata, pihaknya mengambil berat tentang ketidaktelusan proses kelulusan pelbagai kit ujian pantas antibodi atau antigen Covid-19 (Covid-19 Rapid Test Kits) yang digunakan kini.

Menurutnya, MMA sudah mengemukakan masalah itu kepada pengurusan tertinggi pada 2 Jun lalu namun sehingga kini tiada data terperinci yang diterbitkan mengenai alatan ujian yang diluluskan oleh MDA di laman web mereka.

"Kemudahan ini bagi membolehkan pihak-pihak berkaitan mencari maklumat lanjut berhubung pendaftaran alat perubatan di bawah Seksyen 15 Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).

"Mana-mana pihak yang ingin mengetahui sama ada alatan perubatan tersebut didaftarkan di bawah Akta 737 boleh membuat pencarian dengan memasukkan nama peranti atau nombor pendaftaran di ruang carian di bawah seperti yang dinyatakan di laman web MDA di bahagian carian produk," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah secara prinsip bersetuju dengan cadangan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) supaya semua kementerian atau agensi yang bertanggungjawab mengeluarkan permit dan lesen menerbitkan garis panduan permohonan lesen yang akan dipaparkan secara dalam talian untuk makluman umum.

Sebelum ini surat daripada KKM bertarikh 5 Jun menyatakan dengan jelas bahawa pengamal perubatan am (GP) hanya boleh menggunakan kit ujian pantas antibodi Covid-19 yang diluluskan MDA.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus