Empat jam bersihkan tumpahan kimia

Anggota bomba membersihkan tumpahan bahan kimia di Kilometer 353 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara), berhampiran Bidor hari ini.
Anggota bomba membersihkan tumpahan bahan kimia di Kilometer 353 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara), berhampiran Bidor hari ini.
A
A
A

BIDOR - Anggota bomba mengambil masa kira-kira empat jam untuk membersihkan tumpahan bahan kimia dari sebuah lori di Kilometer 353 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) berhampiran Bidor, hari ini.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, satu daripada enam tong berisi cecair Superkleen AC4 mengalami kebocoran menyebabkan bahan itu tumpah di atas jalan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Asyraf Mat Isa berkata, seramai 14 anggota termasuk lapan dari Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, siasatan mendapati bahan kimia terlibat digunakan bagi kegunaan industri dan tumpah dalam kuantiti yang kecil.

"Walaupun sedikit, ia boleh mendatangkan risiko kebakaran sekiranya berlaku percikan api, langkah keselamatan awal dilakukan adalah dengan membuat semburan foam disusuli kerja-kerja menabur soda bagi menuetralkan cecair di kawasan tumpahan," katanya.

Menurutnya, syarikat terlibat telah membuat pemindahan cecair ke tangki lori yang lain.

"Pemeriksaan dan pembersihan menyeluruh dilakukan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat.

"Operasi tamat sepenuhnya jam 2.19 petang tadi," katanya.

Artikel Berkaitan: