X

Kindly register in order to view this article
!

Balu Nazrin tidak pernah tuntut pampasan insurans

Balu yang juga tertuduh pertama kes pembunuhan Nazrin, Samirah Muzaffar. -Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu balu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan tidak pernah mengemukakan apa-apa dokumen bagi menuntut pampasan insurans Nazrin yang dibeli oleh syarikat.

Saksi pendakwaan ke-27, bekas Pengurus Sumber Manusia Cradle Fund, Natasya Aziaton Abdul Aziz, 35, berkata, sepanjang beliau memegang jawatan itu sehingga tahun lepas, balu yang juga tertuduh pertama kes pembunuhan Nazrin, Samirah Muzaffar, juga tidak pernah menyerahkan apa-apa dokumen untuk menuntut pampasan daripada polisi insurans berkenaan.

“Sehingga pertengahan tahun lepas, tiada apa-apa tuntutan dibuat oleh Samirah. Dia juga tidak pernah bertanya berapa banyak jumlah pampasan yang akan dibayar oleh syarikat insurans hayat, berikutan kematian suaminya dan berapa peratus beliau akan terima,” katanya ketika menjawab soal balas daripada peguam bela L S Leonard di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Tambah Natasya Aziaton lagi, sepanjang berkhidmat dengan syarikat Cradle Fund Sdn Bhd sejak 2014, hanya satu bayaran insurans hayat diberikan kepada waris kakitangan syarikat yang meninggal dunia dan kematian Nazrin pula adalah kes pertama melibatkan kakitangan berjawatan tinggi.

Beliau turut memberitahu, pampasan insurans yang dijangka diterima oleh waris Nazrin adalah kira-kira RM1.08 juta.

Katanya, bayaran itu meliputi pampasan insurans hayat berjumlah RM500,000, insurans kemalangan sebanyak RM503,000 dan bakinya merupakan bayaran kepada faedah yang layak diterima oleh Nazrin.

“Cradle Fund sebagai pemegang polisi insurans bagaimanapun masih belum menerima bayaran daripada syarikat insurans kerana dokumen yang diperlukan masih belum lengkap,” katanya bagi menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya Ashyraf Ashy'ari Kamaruzaman.

Samirah, 45, dan dua remaja lelaki, masing-masing berusia 17 dan 14 tahun serta seorang wanita Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf