Banjir: Buka dua PPS di Muar, satu PPS di Tangkak

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia ( APMM) membantu memindahkan penduduk ke PPS SMK Bandar Maharani.
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia ( APMM) membantu memindahkan penduduk ke PPS SMK Bandar Maharani.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua pusat pemindahan sementara ( PPS) dibuka di Muar manakala satu PPS di Tangkak sejak pagi tadi bagi menempatkan mangsa banjir.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, seramai 227 mangsa daripada 47 keluarga direkodkan di tiga PPS tersebut sehingga jam 4 petang tadi.

PPS tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK) Bandar Maharani, SMK Dato Sri Amar Diraja di Muar dan Sekolah Kebangsaan ( SK) Parit Bunga di Tangkak.

Katanya, PPS di SMK Bandar Maharani dibuka jam 9 pagi tadi mencatatkan 128 mangsa banjir daripada 26 keluarga daripada Kampung Sabar Awor dan Lorong Dato Samsu Jalan Ismail.

"Seramai 47 mangsa banjir daripada 11 keluarga di Kampung Kelantan dan Kampung Dato Sri Amar Diraja ditempatkan di PPS di SMK Dato Sri Amar Diraja yang dibuka jam 10.30 pagi tadi.

"Seterusnya bagi PPS di SK Parit Bunga yang dibuka jam 10 pagi, kini menempatkan seramai 52 penduduk daripada 10 keluarga. Kesemua mangsa banjir ini daripada Kampung Parit Bunga, Kampung Tanjung Adas dan Kampung Tanjung Gading Timur," katanya.

R Vidyananthan berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia ( MET Malaysia) mengeluarkan amaran ribut petir tengah hari tadi di beberapa negeri termasuk Johor sehingga jam 5 petang tadi.

Artikel Berkaitan: