19 sekolah di Terengganu terima sumbangan Yayasan Petronas

Pelajar tingkatan 5 Champion Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badrul Alam Shah Kemasik, Nur Sherwina Shylla Jumaid, 17, mencuba alat sanitasi tangan yang disumbangkan oleh Yayasan Petronas.
Pelajar tingkatan 5 Champion Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badrul Alam Shah Kemasik, Nur Sherwina Shylla Jumaid, 17, mencuba alat sanitasi tangan yang disumbangkan oleh Yayasan Petronas.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 19 sekolah di daerah Kemaman, Kuala Nerus dan Dungun menerima 4,900 liter cecair pembasmi kuman dan 95 alat sanitasi tangan yang disumbangkan oleh Yayasan Petronas.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi A Rahman berkata, inisiatif di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bagi menyokong usaha membendung risiko penularan wabak koronavirus (Covid-19) dalam kalangan pelajar sekolah di negeri ini.

Katanya, sumbangan cecair serta alat sanitasi tangan ini diagihkan kepada sekolah rendah dan menengah terpilih di tiga daerah ini mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

“Langkah ini merupakan usaha berterusan Petronas untuk memperkasakan kehidupan komuniti sekitar kawasan operasi serta komited terhadap usaha dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung penularan Covid-19,” kata beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Petronas turut menyokong amalan penjagaan kebersihan diri dalam kalangan pelajar, guru, kakitangan sekolah serta orang ramai yang berurusan dengan pihak sekolah.

“Inisiatif ini juga selari dengan saranan yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di bawah Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

“Melalui agenda ketiga SDG, PBB menggariskan aspek kesejahteraan dan kehidupan yang sihat untuk semua sebagai salah satu agenda pembangunan lestari,” kata beliau.

Beliau berkata, ia adalah sebahagian daripada sumbangan keseluruhan melibatkan 68,000 pelajar di 104 buah sekolah di Johor, Kedah, Labuan, Melaka, Pahang, Perak, Sabah dan Sarawak.

Artikel Berkaitan:

“Sumbangan cecair sanitasi tangan dan mesin dispenser ini adalah sebahagian daripada sumbangan Yayasan Petronas bernilai RM20 juta termasuk peralatan dan kelengkapan perubatan bagi membantu hospital dan petugas barisan hadapan dalam mengawal pandemik Covid-19,” kata beliau.