X

Kindly register in order to view this article
!

SBM Perak masih perlukan RM120,000

Razman (tiga, kiri) mendengar penerangan daripada Idris (kanan) sempena lawatan kerja ke bangunan baru Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Cawangan Perak di Medan kidd, Ipoh hari ini.
A
A

IPOH - Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Cawangan Perak masih memerlukan RM120,000 bagi melengkapkan kemudahan dan kerja menaik taraf bangunan baru tiga tingkat di Medan Kidd di sini.

Pengerusinya, Idris Hashim berkata, bangunan yang dimiliki pada 2018 dengan kos RM690,000 itu bakal digunakan sebagai pejabat operasi termasuk bagi latihan kursus jangka pendek untuk 160 ahlinya.

Menurutnya, hampir keseluruhan ahli pada masa ini meraih pendapatan dengan bekerja sendiri menerusi kemahiran-kemahiran yang dipelajari termasuk mengurut, penghibur jalanan atau busker dan hasil jualan barangan seperti tisu.

"Sejak pertubuhan ini didaftarkan pada 1976 lalu, operasi pertubuhan dijalankan di bangunan sewa sahaja sehinggalah pada 2018, kita berjaya memiliki bangunan ini, RM176,000 daripada kos keseluruhan bangunan ditanggung oleh persatuan melalui duit terkumpul dan sumbangan orang ramai manakala bakinya dibiayai oleh pihak ibu pejabat.

"Bagaimanapun bangunan ini masih memerlukan kerja naik taraf yang banyak, duit tabung sebanyak RM40,000 sudah digunakan bagi kerja-kerja awal seperti mengecat, namun masih belum mencukupi," katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil, Razman Zakaria ke bangunan berkenaan hari ini.

Menurutnya, bangunan itu dipilih sebagai pejabat operasi kerana kedudukannya yang hampir dengan kemudahan pengangkutan awam iaitu stesen bas, stesen kereta api dan teksi.

"Kami banyak gunakan pengangkutan awam untuk bergerak, jadi mudahlah sedikit untuk ahli datang ke sini untuk berkursus dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Razman berkata, tinjauan mendapati, bangunan berkenaan memerlukan kerja baik pulih segera bagi memberi persekitaran yang lebih selesa dan selamat.

Pihaknya akan menghantar kontraktor untuk melakukan pemeriksaan lanjut dalam masa terdekat ini, sebelum menentukan kos pembiayaan sebenar diperlukan.

"Kita lihat tadi hampir keseluruhan bumbung perlu ditukar kerana sudah bocor disebabkan struktur kayu yang lama, lantai juga perlu dibaik pulih begitu juga masalah tandas yang tidak berfungsi.

"Kerajaan negeri juga akan memantau fasiliti lain di sini dan akan dibangunkan secara berperingkat sesuai dengan keperluan mereka," katanya.

Kepada yang berhasrat membantu boleh hulurkan sumbangan kepada Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Perak menerusi akaun CIMB 7631617123.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!