Kelapa sawit kekal komoditi utama negara, bukan buluh

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi tidak berhasrat untuk menggantikan kelapa sawit yang merupakan komoditi utama negara kepada tanaman buluh.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kementerian giat memperkasakan industri sawit dengan kajian teknologi terkini dan memperluaskan pasaran serta mempelbagaikan produk nilai tambah makanan berasaskan sawit di peringkat antarabangsa.

Dalam masa yang sama menurutnya, kementerian menerokai peluang buluh sebagai satu lagi komoditi masa depan di samping produk komoditi lain.

“Bagi membangunkan industri buluh, kementerian telah menyenaraikan buluh sebagai salah satu tanaman hutan yang perlu dikomersialkan menerusi Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bersama-sama dengan lapan lagi spesies tanaman hutan iaitu getah TLC, akasia, kelampayan/laran, batai, jati, binuang, khaya dan sentang.

“PPLH diluluskan oleh Jemaah Menteri pada tahun 2005 dengan kelulusan dasar berjumlah RM1.045 bilion dan peruntukan disalurkan secara tahunan dengan peruntukan awal pada 2006.

“PPLH dilaksanakan dengan kelulusan pinjaman bermula pada tahun 2007 manakala spesis buluh telah disenaraikan dalam PPLH pada 2014 dengan saiz minimum 20 hektar dan mulai 2020, saiz miminum bagi PPLH telah diturunkan kepada empat hektar,” katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan oleh Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (Amanah-Lumut) berhubung sejauh mana pihak kementerian serius menggantikan industri kelapa sawit dengan buluh.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, bagi membangunkan lagi industri buluh, kementerian melalui Lembaga Perindustran Kayu Malaysia (MTIB) kini sedang dalam proses menghasilkan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021-2030.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pelbagai inisiatif jangka pendek dan panjang dijalankan untuk membangunkan industri buluh di negara ini.