Covid-19: KKM kesan kluster baharu 'Novgorod'

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kluster baharu koronavirus (Covid-19) iaitu Kluster Novgorod melibatkan rakyat Malaysia yang pulang dari Rusia, awal bulan ini.. - Foto Bernama
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kluster baharu koronavirus (Covid-19) iaitu Kluster Novgorod melibatkan rakyat Malaysia yang pulang dari Rusia, awal bulan ini.. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kluster baharu koronavirus (Covid-19) iaitu Kluster Novgorod melibatkan rakyat Malaysia yang pulang dari Rusia, awal bulan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu dikenalpasti apabila terdapat kes ketiga yang dikesan positif Covid-19 hasil saringan kontak rapat kepada kes kedua.

"Kes pertama kluster ini merupakan seorang rakyat tempatan iaitu kes ke-8,673 yang pulang dari Rusia pada 5 Julai yang didapati positif dalam saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh," katanya.

Menurutnya, kes kedua (kes ke- 8,718) kluster ini merupakan rakan kepada kes pertama yang menaiki pesawat sama.

"Saringan di KLIA mendapati pesakit ini negatif namun mula menunjukkan gejala demam dan berkaitan saluran pernafasan dua hari kemudian. Dia kemudian disahkan positif Covid-19 selepas ujian saringan kedua dilakukan," katanya.

Beliau berkata, kes ketiga kluster itu merupakan bapa kepada kes kedua yang turut menunjukkan gejala jangkitan.

"Semasa ketibaannya, pesakit kes kedua dijemput oleh empat ahli keluarganya," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga hari ini 14 kontak rapat dikenalpasti.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua mereka telah disaring dan disahkan negatif Covid-19," katanya.

Tambah beliau, siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat dijalankan KKM secara aktif.