KSM cadang laksana sistem dalam talian sepenuhnya

M Kula Segaran menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2019 peringkat kementerian di Kementerian Sumber Manusia hari ini. - Foto Bernama
M Kula Segaran menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2019 peringkat kementerian di Kementerian Sumber Manusia hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Manusia (KSM) bercadang melaksanakan sistem dalam talian sepenuhnya untuk pelbagai permohonan khususnya yang melibatkan wang termasuk pengambilan pekerja asing bagi mengelak sebarang unsur rasuah dan penyelewengan.

Menterinya M Kula Segaran berkata langkah itu akan memastikan pegawai agensi penguat kuasa dan kawal selia di bawah KSM tidak berurusan terus dengan orang awam dan sekali gus mengurangkan gejala rasuah.

“Saya menekankan zero corruption (sifar rasuah). Ini adalah satu masalah dalam kerajaan terdahulu. Sehubungan itu, kita mahu menghapuskan gejala rasuah,” katanya kepada pemberita selepas majlis Amanat Tahun Baharu 2019 di sini hari ini. Hadir sama ialah Timbalannya Datuk Mahfuz Omar.

Kula Segaran juga mahu warga KSM meningkatkan kualiti perkhidmatan dengan menerokai idea-idea baharu melalui implementasi teknologi terkini seperti 'block chain' untuk perkhidmatan yang lebih cepat dan berkesan.

Beliau juga mahu warga KSM bertindak secara responsif dan perlu ada 'sense of urgency' dalam melaksanakan setiap tugasan.

“Kita hendaklah memberi jawapan atau maklum balas kepada pertanyaan atau permasalahan pelanggan dengan cepat. Sekiranya terdapat permohonan ditolak, jelaskan dengan kadar segera. Sebaik-baiknya urusan maklum balas surat dan e-mel dibalas dan dijawab dalam tempoh 48 jam,” katanya.

Berhubung Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing, Kula Segaran berkata semua menteri berkaitan akan mengadakan perjumpaan pada bulan hadapan bagi membincangkan Laporan Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing yang telah siap sebelum dibentangkan ke Kabinet.

Jawatankuasa yang diketuai bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Hishamuddin Yunus telah memasukkan lebih 40 syor membabitkan pelbagai perkara ke dalam laporan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Laporan itu akan menentukan kerangka dasar, polisi dan pengurusan pekerja asing yang baharu bagi meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kerenah birokrasi.

Kula Segaran dalam pada itu berkata KSM menyasarkan peningkatan seramai sejuta pekerja yang menganggotai kesatuan sekerja menjelang tahun 2020. - Bernama