X

Kindly register in order to view this article
!

Pelantikan satu penghormatan kepada saya: Azhar

Azhar ketika bercakap kepada pemberita di bilik media Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Azhar [email protected] menyifatkan pelantikannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini adalah satu penghormatan kepada dirinya dan keluarga kerana dapat berkhidmat kepada negara.

Beliau berkata, tanggungjawab yang diberikan itu akan dilaksanakan dengan sebaiknya khususnya dalam menambah baik institusi Parlimen di negara ini.

Menurutnya, selaku Speaker yang baru dilantik, beliau akan meneliti semua proses dan pelaksanaan yang dibuat oleh penyandang sebelum ini, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusoff.

"Setakat ini saya belum lagi berbincang (pengurusan Parlimen) tetapi saya dimaklumkan Tan Sri Mohamad Ariff banyak lakukan pembaharuan.

"Sekiranya baik, kita akan teruskan, malah kita juga akan laksanakan pembaharuan jika belum dilakukan," katanya kepada pemberita di bilik media Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Ditanya mengenai jemputan untuk menjadi Speaker Dewan Rakyat kepada beliau, Azhar memberitahu, perkara itu berlaku sebelum penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang pada Jun lalu.

Sementara itu mengenai pengalaman hari pertama mempengerusikan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat hari ini yang penuh kontroversi dan panas, Azhar menyifatkan ia sebagai pengalaman untuk dirinya.

"Ia satu pengalaman yang baik dan kita belajar daripada pengalaman," katanya.

Dalam pada itu, Azhar merakamkan penghargaan kepada Mohamad Ariff di atas sumbangan beliau sebelum ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus