Tiga kementerian bekerjasama dapatkan akses vaksin Covid-9

KKM berusaha mendapatkan kemudahan untuk pembangunan vaksin serta perubatan mencegah Covid-19 melalui kerjasama antarabangsa.
KKM berusaha mendapatkan kemudahan untuk pembangunan vaksin serta perubatan mencegah Covid-19 melalui kerjasama antarabangsa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Luar Negeri (KLN) bersetuju untuk bekerjasama bagi menjadikan Malaysia antara negara terawal mendapat akses kepada vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, persetujuan tiga kementerian itu dicapai pada 21 April lalu bagi mencari peluang untuk mewujudkan kerjasama strategik melibatkan badan antarabangsa, agensi dan syarikat tempatan.

"Kerjasama bagi membolehkan negara ini memperoleh kemudahan untuk pembangunan vaksin serta perubatan mencegah Covid-19.

“KKM akan terus memberikan komitmen dalam memastikan Malaysia mendapat manfaat kerjasama antarabangsa melalui pelbagai platform termasuk mesyuarat dua hala antara KKM dengan kedutaan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Pas-Bachok) berhubung penglibatan Malaysia dengan sektor perkhidmatan kesihatan dibangunkan negara lain bagi mengekang wabak Covid-19 pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan mengambil pendekatan 'whole of government approach' dalam menangani penularan Covid-19 dan setiap kementerian memainkan peranan masing-masing termasuk mengadakan hubungan kolaboratif dengan negara asing dan agensi pertubuhan antarabangsa.

Katanya, KKM memperkukuhkan hubungan kerjasama di peringkat antarabangsa bermula daripada pengesanan kes pertama wabak Covid-19 di negara ini pada 25 Januari lalu.

“Ia dilakukan secara dua hala, serantau dan pelbagai hala dalam sektor perkhidmatan kesihatan bertujuan mengekang serta mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“KKM juga mengambil langkah agresif untuk berkolaboratif dengan badan pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), United Nations International Children's Fund (UNICEF) dan Development 8 (D-8).

“Antara bentuk kerjasama yang dilakukan Malaysia di pelbagai peringkat adalah sesi perkongsian maklumat secara berterusan berkenaan status terkini di antara Malaysia dan WHO,” katanya.

Selain itu Dr Adham berkata, KKM bersama semua 'focal point' International Health Regulation (IHR) 2005 negara-negara ahli WHO mengukuhkan platform komunikasi secara berterusan bagi memastikan maklumat warga asing dijangkiti Covid-19 dan sedang dirawat dimaklumkan kepada negara ahli dengan kadar segera.

Menurutnya, kerjasama KKM dalam menangani Covid-19 diperkukuhkan lagi melalui komitmen Malaysia menyertai Solidarity Trial di peringkat WHO.

“Malaysia dijemput untuk terlibat secara aktif di dalam pelbagai topik perbincangan, perkongsian kepakaran dan maklumat melalui platform ASEAN mengenai langkah mengawal penularan Covid-19.

“Di peringkat secara dua hala, KKM terus memperkukuhkan platform kerjasama sedia ada dengan negara lain semasa penularan wabak seperti Jawatankuasa Kerja Mengenai Covid-19 di antara Malaysia-Singapura.

“Lawatan pasukan pakar perubatan Republik Rakyat China ke Malaysia pada 18 April hingga 3 Mei lalu juga adalah satu lagi contoh kerjasama dua hala antara Malaysia dan negara lain,” katanya.