X

Kindly register in order to view this article
!

NGO, sukarelawan perlu ke depan bantu masyarakat

Sukeriah (tiga,kiri) menerima sumbangan dari Abd Hadi di sini, hari ini.
A
A

TANAH MERAH - Badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan perlu lebih ke depan untuk membantu masyarakat terutama dalam pasca koronavirus (Covid-19).

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abd Hadi Awang Kechil berkata, pelbagai peringkat masyarakat memerlukan bantuan termasuk golongan sasaran seperti pelajar-pelajar asnaf apabila ekonomi keluarga mereka terkesan akibat krisis pandemik itu.

"Sebagai contoh kita sebagai kumpulan alumni di sekolah. Golongan sasaran paling dekat dengan kita ialah warga sekolah itu sendiri. Bila bercakap mengenai bantuan ini, kita sebagai alumni perlu sentiasa terpanggil untuk membantu mereka yang memerlukan.

"Tidak kira kita siapa sama ada latar belakang dan pekerjaan kita, jika kita mampu membantu, kita perlu ke depan untuk bersama-sama menghulurkan bantuan. Bukan sumbangan duit sahaja, tapi banyak lagi sumbangan lain boleh diberikan.

"Itulah jasa kita kepada mereka, ini salah satu cara untuk kita membantu. Dengan berlakunya penularan Covid-19 baru-baru ini, kita perlu menilai balik sumbangan yang kita berikan kepada masyarakat. Setiap apa yang berlaku ada hikmahnya dan ia perlu ditambah baik dari masa ke masa. Tanggungjawab kita untuk bantu mereka yang memerlukan ini," katanya kepada pemberita selepas penyampaikan cek sumbangan kepada Sekolah Menengah Dato' Mahmood Paduka Raja (SMDMPR) di sini, hari ini.

Program berkenaan turut dihadiri oleh ahli jawatankuasa Persatuan Alumni SMDMPR dan warga sekolah bersama Pengetuanya, Sukeriah Abdullah.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Alumni sekolah itu menambah, bukan hanya NGO, malah masyarakat sendiri perlu ada rasa tanggungjawab untuk membantu sesama sendiri walaupun tidak mempunyai nama yang gah dalam sebarang persatuan kerana misi bantuan perlu dilakukan setiap masa, bukan secara berkala atau menunggu ketika berlaku bencana.

"Negara semakin maju, sukarelawan semakin berkurang sebab mereka lebih memilih kerja yang bergaji dan sebagainya. Namun pemikiran seperti inilah yang perlu kita elak bagi memastikan kita sentiasa berganding bahu dalam melakukan setiap aktiviti masyarakat.

"Jangan hanya tunggu bantuan kerajaan. Kerajaan telah melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin sejak Covid-19 baru-baru ini sehinggalah pasca Covid. Apa yang penting ialah tugas-tugas kita sebagai pengiring untuk membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai sumbangan yang diberikan kepada sekolah tersebut, Abd Hadi berkata, pihaknya sentiasa memberikan sokongan dalam setiap aktiviti yang diadakan dan membantu dari pelbagai segi terutama melibatkan pelajar-pelajar asnaf.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus